01 April 2008

Ibu Sufiah tertekan

SUFIAH dan Jonathan Marshall bergambar selepas berkahwin pada 2004.

LONDON: Benarkah pelajar pintar matematik, Sufiah Yusof, 23, melacurkan diri untuk menyara kehidupannya? Itulah persoalan cuba dirungkai Kesatuan Melayu United Kingdom yang menawarkan diri untuk mencari dan membawa wanita itu pulang ke pangkuan keluarganya.

Presiden kesatuan itu, Hamidi Abdul Rahman, berkata secara peribadi beliau yakin Sufiah tidak begitu terdesak sehingga sanggup menjual tubuhnya, sebaliknya mungkin ada faktor lain yang mempengaruhinya berbuat demikian.

“Selepas perceraian Sufiah dengan suaminya, Jonathan Marshall, tiga tahun lalu, dia (Sufiah) membawa diri dan mengasingkan diri daripada keluarganya sehingga ibu bapanya tidak tahu di mana dia berada.

“Keluarga Sufiah juga memberitahu ada menerima e-mel daripadanya meminta mereka supaya tidak menghubungi atau mencarinya,” kata Hamidi ketika dihubungi di sini, semalam.

Sufiah yang menjadi bahan berita sebagai kanak-kanak pintar apabila diterima memasuki Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun, kini dilaporkan terpaksa melacurkan diri di Salford, Manchester, untuk menyara kehidupannya.

Akhbar News of The World edisi online kelmarin melaporkan Sufiah mengiklankan ‘perkhidmatannya’ melalui Internet dengan tawaran 130 pound (RM830) untuk setiap sesi.

Dengan memakai nama samaran Shilpa Lee, Sufiah antara lain menggambarkan dirinya pelajar bijak dan seksi yang menyediakan perkhidmatan setiap hari dari jam 11 pagi hingga 8 malam.

Hamidi yang mengaku rapat dengan ibu pelajar pintar itu, Halimaton Yusof, berkata pihaknya akan cuba mencari Sufiah dan membawanya pulang ke pangkuan ibu dan keluarganya.

“Walaupun usaha ini bukan mudah sebab ia memerlukan masa dan kos, kami akan cuba mendapat bantuan daripada mereka yang bersimpati serta mahu melihat Sufiah kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Beliau berkata, Halimaton terkejut dengan berita pendedahan itu.

Halimaton, seorang rakyat Malaysia, kini dikatakan dalam keadaan tertekan dan enggan melayan panggilan wartawan yang tidak putus-putus cuba mendapatkan ulasannya.

Malah, Hamidi berkata, laporan akhbar itu di sini kelmarin, juga mengejutkan kalangan masyarakat Malaysia di seluruh United Kingdom.

Ibu Sufiah berasal dari Muar, Johor, manakala bapanya, Farooq Yusof dari Pakistan dan kini dipenjara selepas didapati bersalah mencabul kehormatan dua gadis.

Pengajian Sufiah di Universiti Oxford mendapat tajaan kerajaan Malaysia walaupun beliau bukan warga negara.

Hamidi berkata, Kesatuan Melayu United Kingdom yang sebelum ini turut membantu keluarga Halimaton menjejaki Sufiah ketika gadis itu menghilangkan diri selama dua minggu di tahun akhirnya di Universiti Oxford, berharap dapat mencarinya berdasarkan maklumat daripada akhbar terbabit dan sistem daftar pengundi.

http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment