17 April 2008

Kedutaan Malaysia urus kepulangan Azreen

Azreen pulang akhirnya

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - Kedatangan Che Ishak Che Kob di sini sejak dua hari yang lalu nampaknya berbaloi.

Ini kerana anaknya, Che Siti Nor Azreen, 12, (Azreen) yang yang sebelum ini menjalani sesi kaunseling di sebuah rumah perlindungan kanak-kanak seliaan Jabatan Kebajikan Sosial Lombok Timur kini diserahkan kepada pihak Kedutaan Malaysia untuk diuruskan kepulangannya.

Pertemuan kedua yang sepatutnya membawa Che Ishak, 47, menemui Azreen itu semalam pada mulanya dijadualkan pukul 10 pagi itu terlewat sedikit berikutan rombongan yang membawa beliau tiba ke destinasi itu hanya sampai kira-kira 2 petang.

Ia kemudiannya disusuli dengan kehadiran wakil Polis Republik Indonesia dari Lombok Timur yang diketuai Pak Hery Sutanto sebelum pertemuan tertutup diadakan antara Che Ishak, wakil keluarga Tony Wijaya bersama wakil Migrant CARE.

Malah pihak rumah perlindungan juga kini bersiap-sedia untuk menguruskan pemergian Azreen yang dijangka pada hari ini.

Bagaimanapun, pertemuan itu ternyata membawa kejutan kepada keluarga lelaki yang terlibat dengan kes Azreen, Tony Wijaya atau dikenali sebagai Suparman, 27, apabila diberitahu bahawa siasatan kes itu telah selesai dan kebenaran diberi untuk menyerahkan Azreen kepada Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Menurut Hery Sutanto, pihaknya mengambil keputusan itu setelah semua siasatan selesai dijalankan sebelum ini.

"Keputusan menyerahkan Azreen kepada Kedutaan Malaysia dianggap langkah paling tepat kerana dilengkapi bukti dan dokumentasi yang kukuh.

"Lagipun keputusan itu dipersetujui sebulat suara antara kedua-dua pihak bagi memastikan penghantaran Azreen ke sana nanti berjalan lancar," katanya di sini semalam.

Mengenai status Tony yang didakwa melarikan Azreen ke Indonesia sebelum ini, beliau enggan mengulas lanjut sambil berkata, apa yang penting kes itu dapat diselesaikan secepat mungkin dan Azreen dapat kembali ke pangkuan keluarganya semula.

Sementara itu, wakil Rumah Sosial Paramita Mataram, Drs. Baharudin pula berkata, pihaknya kini dalam usaha memujuk Azreen yang kelihatan agak berat hati untuk ke Jakarta.

"Kami memerlukan sedikit masa untuk menenangkannya, mungkin dia masih terkejut dengan berita itu, apatah telah sekian lama berada di sini.

"Apapun kita yakin dengan bantuan beberapa kaunselor yang mendampingi Azreen, kini masalah itu dapat diselesaikan bagi membolehkannya dibawa ke Jakarta esok (hari ini)," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment