17 April 2008

Tony pernah berkahwin dan bercerai sebelum ini

Dia tetap isteri saya – Tony

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) – “Dia tetap (Azreen) isteri saya,’’ demikian reaksi ringkas Tony Wijaya dan beremosi apabila mendapat tahu bahawa Che Siti Nor Azreen (Azreen) akan dibawa pulang ke Malaysia tidak lama lagi.

Malah Tony atau Suparman, 27, bagaikan tidak dapat menahan kesedihan kerana terpaksa berpisah dengan Azreen, 12, dalam tempoh terdekat.

Dalam keadaan murung, Tony, 27 bagaimanapun kemudiannya enggan bercakap dengan sesiapa dan hanya terbaring sambil kerap menghisap rokok di pondok berhampiran rumah perlindungan kanak-kanak Jabatan Kebajikan Lombok Timur semalam.

Rumah tersebut kini menempatkan Che Siti Nor Azreen untuk diberi kaunseling ekoran kontroversi perkahwinannya dengan Tony.

Kisah mereka bermula kira-kira empat bulan lalu apabila kisah rayuan keluarga Azreen di Rantau, Negeri Sembilan dipaparkan Kosmo! yang mahu mencari anaknya yang didakwa lari dari rumah.

Ekoran itu, hasrat keluarga Azreen dibantu oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Migrant CARE yang kemudiannya berjaya menjejaki Azreen di Lombok, Indonesia.

Selepas itu, tiga hari lalu, ayah Azreen bersama rombongan Migrant CARE berlepas ke Mataram dan kelmarin berjaya menemui Azreen di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Paramita, Mataram, Nusa Tenggara Barat.

Semalam, ia disusuli dengan satu lagi pertemuan dan akhir polis dan pihak pengurusan rumah perlindungan itu akhirnya bersetuju menghantar pulang Azreen ke Malaysia dan akan ke Kedutaan Malaysia di Jakarta, hari ini.

Sementara itu, keputusan membawa pulang Azreen ke Malaysia turut mengejutkan bapa Tony, Nusan Badri (gambar) dan seluruh keluarganya malah beberapa anggota ahli keluarga itu juga seolah-olah tergamam dengan keputusan itu.

Ini kerana rata-rata mereka menjangka pertemuan yang diatur semalam hanyalah untuk menemukan Che Ishak dengan Azreen sekali lagi.

Disebabkan itu Tony dan ahli keluarganya dilihat lebih banyak termenung dan berkumpul sesama sendiri selepas mengetahui keputusan pertemuan tertutup yang diadakan semalam.

Bagaimanapun selepas beberapa jam, Nusan dilihat lebih positif dan berharap dapat menyelesaikan masalah itu bersama Che Ishak, 47, di kemudian hari.

“Sebelum dia (Azreen) berkahwin dengan Tony saya sudah anggap sebagai anak saya sendiri, apatah lagi ketujuh-tujuh anak-saya adalah lelaki.

“Mereka berkahwin sebelum ini atas dasar suka sama suka, itukan lagi baik bagi mengelakkan berlakunya maksiat yang dicela Tuhan,’’ katanya sambil menambah sebelum Azreen, Tony pernah berkahwin dan bercerai sebelum anaknya itu merantau ke Malaysia.

Tambahnya, sebagai menantu, Azreen banyak membantu beliau dan keluarganya di kampung halaman mereka di Dusun Terentum, Desa Kabar, Sakra, Lombok Timur.

“Dia (Azreen) sering membantu isteri saya memasak di rumah, dia juga sering membantu Tony menguruskan perniagaan bawang yang kami jalankan di sana.

“Malah sejak empat bulan yang lalu saya menerimanya sebagai sebahagian keluarga kami, malah Azreen juga kini fasih dialek kami dan bahasa Indonesia,’’ katanya.

Jelasnya, walaupun keputusan itu membuatkannya sedih namun beliau akur demi menghormati undang-undang dan mengakui kesilapan yang dilakukan sebelum ini.

“Saya baru merancang untuk membawanya menemui keluarganya di Malaysia selepas kami menunaikan haji tahun ini, nampaknya dia lebih dulu ke sana.

“Paling penting adalah hubungan kekeluargaan ini tidak akan terputus, jika ada jodoh suatu hari nanti pasti mereka akan bersatu kembali,’’ ujarnya.

http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment