17 April 2008

Azreen akan pulang

Gembira miliki semula anak kesayangan

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - "Saya bersyukur akhirnya Azreen akan pulang."

Demikian luahan Che Ishak Che Kob, 47, sebaik sahaja mendapat tahu bahawa anaknya, Che Siti Nor Azreen (Azreen) kini telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia oleh pihak Polis Republik Indonesia.

Menurutnya, walaupun agak kecewa dengan pertemuan kelmarin yang agak singkat, namun beliau sentiasa positif bahawa Azreen akan kembali semula ke pangkuannya satu hari nanti.

"Saya memang agak terkilan kelmarin (semalam), sudahlah hampir empat bulan tidak berjumpa dengannya, masa yang diberi juga agak singkat.

"Sebagai bapa, banyak persoalan yang berlegar di kepala saya ini, mengapa dan kenapa dia bertindak demikian, namun saya tidak berupaya mengungkapkannya disebabkan pelbagai halangan," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Tambah Che Ishak, beliau tidak menjangka sama sekali pertemuan kedua yang diatur semalam membolehkan anaknya itu dibawa pulang melalui Kedutaan Malaysia di Jakarta.

"Saya berterima kasih kepada Kosmo! dan semua pihak yang terlibat mengatur pertemuan ini apatah lagi selepas diberitahu Azreen bakal pulang semula ke pangkuan keluarga kami tidak lama lagi.

"Biarlah Azreen bersendirian dan memulihkan semangatnya dulu, apa yang penting walaupun dia sudah berkahwin di sini, kami tetap menerimanya kembali seperti dulu," ujarnya

Che Ishak berkata, beliau juga reda sekiranya Tony Wijaya, 27, atau Suparman lelaki yang didakwa melarikan anaknya yang kini menjadi menantunya, namun mestilah mengikut peraturan dan undang- undang yang ditetapkan.

"Malah saya dan bapa Tony, Nusan Badri juga telah sepakat untuk menyelesaikan masalah ini dengan sewajarnya di kemudian hari, apa yang telah berlaku tetap berlaku.

"Paling penting ialah masa depan Azreen. Selagi dia masih dalam tanggungjawab saya, dalam usianya yang masih muda, saya perlu mengutamakan pendidi- kannya demi masa depannya," katanya.

http://www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment