12 April 2008

Isu babi, dokumen rahsia akan didedah jika Umno masih kelirukan rakyat

Selangor beri amaran jangan putarbelitkan isu ladang babi

SHAH ALAM, 12 April (Hrkh) - Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Permodenan Pertanian, Sumber Alam Sekitar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Yaakob Sapari memberi amaran kepada mana-mana pihak yang memutarbelitkan isu projek pembinaan ladang babi, di Ladang Tumbuk, Hulu Langat.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak mendedahkan dokumen rasmi kerajaan negeri berhubung projek yang telah diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 9 Februari 2008.

Tidak teragak-agak dedah dokumen

"Kami tidak teragak-agak mendedahkan dokumen ini, yang telah diluluskan kerajaan negeri BN sehingga sampai ke peringkat pengambilan tanah, walaupun ia merupakan dokumen rasmi kerajaan dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA)," tegas beliau ketika temu bual eksklusif bersama Harakahdaily, di pejabatnya, di SUK, semalam.

Beliau menegaskan, atas persetujuan Exco negeri dokumen tersebut boleh dihebahkan walaupun ia merupakan dokumen OSA.

"Kita boleh menjadikan dokumen itu bukan dokumen OSA," katanya sambil menunjukkan dokumen tersebut.

Tiada kesan negatif kepada persekitaran

Mengulas lanjut kontroversi yang dimanipulasi media arus perdana berhubung isu itu, Yaakob berkata projek RM 100 juta itu tidak akan memberi kesan negatif kepada alam persekitaran.

Jelas beliau, najis babi dari ladang akan dikumpulkan dalam satu tong yang bercampur sisa rumput, yang kemudian menghasilkan bio-gas untuk menjana kuasa elektrik bagi keperluan ladang tersebut.

"Tidak akan ada pencemaran, baik pencemaran air atau udara. Tidak akan ada sisa buangan dari ladang ke luar kawasan ladang itu. 'No discharge, no smell," tegas beliau.

Menurut Yaakob, kaedah ini diamalkan di Jerman, di mana bekas Setiausaha Sulit Dato' Seri Dr Khir Toyo pernah mengadakan lawatan di negara tersebut, bersama wakil penduduk Kampung Ladang Tumbuk, sebelum ini.

"Wakil penduduk kampung itu bersetuju dengan kaedah di Jerman. Beliau turut menerangkan kepada penduduk bahawa projek itu tidak akan memberi kesan kepada alam sekitar dan penduduk setempat," katanya.

Wakil penduduk berdalih

Ekoran dari itu, Yaakob melahirkan kekesalan apabila wakil penduduk terbabit menafikan apa yang pernah dinyatakan sebelum itu selepas Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Selangor.

Ketika pelbagai pihak membangkitkan soal lokasi projek mega itu yang dikatakan turut membabitkan kampung Melayu, beliau menegaskan kawasan tersebut sememangnya merupakan pusat penternakan babi di negeri itu.

"Sebenarnya, babi sudah sedia ada di kawasan tersebut. Ia memang sudah menjadi pusat. Kami hanya mahu memodenkan pusat tersebut, di samping menjaga alam persekitaran dari dicemari," katanya.

Mengenai cadangan supaya projek ditempatkan di Pulau Ketam yang merupakan majoriti penduduknya adalah Cina, beliau mengatakan kawasan tersebut tidak praktikal kerana faktor geografi, terutama dari segi pasang surutnya air.

Jangan kelirukan rakyat

Menurut Yaakob, projek tersebut sudah berada di peringkat pengambilan tanah, di mana kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang modal bagi tujuan itu.

Malah, katanya para pelabur dikenakan bon sebanyak RM 40 juta kepada kerajaan negeri untuk membiayai kos pengambilan tanah penduduk seluas 119 ekar tersebut.

Justeru, beliau meminta mana-mana pihak yang tidak memahami isu ini secara jelas agar tidak memutarbelitkan fakta, yang boleh mengelirukan rakyat.

http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment