PUTRAJAYA: “Saya harap dapat bertindak seperti posmen untuk kementerian saya dan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, mengenai tujuannya mewujudkan blog sendiri.
Muhammad mewujudkan laman blog www.muhammadmuhdtaib.com, empat hari lalu bagi membolehkannya berinteraksi secara dua hala dengan pelbagai pihak termasuk ahli politik dan pegawai kementerian lain serta membawa segala masalah kepada agensi terbabit untuk diselesaikan.
Selain itu, beliau berkata, ia memberi peluang orang ramai menyuarakan pandangan, masalah dan kritikan membina secara terus kepadanya.
“Saya menggalak orang ramai mengguna laman blog ini secara berhemah untuk tujuan positif dan bukannya membuang masa bercakap mengenai perkara tidak baik dan tidak berfaedah kepada agenda pembangunan negara.
“Kita mahu mendengar apa yang hendak disuarakan rakyat mengenai sebarang keraguan, masalah, cadangan, pandangan dan nasihat kepada kerajaan.
“Biarlah kita berterus terang antara satu sama lain kerana rakyat sudah menyuarakan keprihatinan dan ketidakpuasan hati pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu,” katanya berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 346 pegawai dan kakitangan kementerian itu, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.
Hadir sama dua timbalannya, Tan Sri Joseph Kurup dan Joseph Entulu Belaun dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Jamaliah Kamis.
Muhammad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, kewujudan laman blognya sendiri itu juga didorong perkembangan semasa yang menyaksikan banyak laman blog dibina dengan kebanyakannya mengkritik dasar yang dibuat kerajaan hingga mempengaruhi orang ramai untuk mempercayainya.
“Jika kita tidak boleh melawan mereka (pengendali laman blog), kita perlu sertai mereka,” katanya.
Beliau berkata, ketua jabatan di kementerian juga akan digalak mempunyai laman blog masing-masing bagi memastikan wujud komunikasi dua hala yang lebih berkesan.
“Saya juga hendak portal ini digunakan oleh semua termasuk jabatan di seluruh negara,” katanya.
Muhammad berkata, tiba masanya Abdullah memberi fokus kepada pembangunan modal insan kerana ia faktor penting bagi meneruskan perjuangan membina tamadun bangsa bagi tempoh 50 tahun akan datang.
“Pemimpin terdahulu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan yang terbaik untuk pembangunan negara seperti memajukan pelbagai kemudahan prasarana untuk kesejahteraan rakyat termasuk Menara Berkembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment