22 April 2008

Nurul hidup merempat

TELUK INTAN: Biarpun hujan emas di negeri orang, Nurul Wahida Hamzah, 20, kini menyedari dia membuat keputusan silap apabila mengikuti kekasihnya yang juga seorang buruh Indonesia melarikan diri ke bumi asing dan kini berharap supaya segera diselamatkan.

Wanita berasal dari Chenderong Balai, dekat sini, menceritakan pelbagai keperitan hidup dilaluinya sepanjang tiga tahun bergelar isteri buruh terbabit, ketika menghubungi ibu angkatnya, Halimah Saad, 62, menerusi telefon bimbit, minggu lalu.

Nurul didakwa mengikuti kekasihnya, M Yusup, 40, melarikan diri ke Indonesia ketika berusia 17 tahun, sejurus selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bernikah dengan lelaki itu di Dusun Menceh, Desa Gelanggang, Kecamatan Sakra Timur, Kabupaten Lombok Timur, pada 2005.

Halimah berkata, Nurul menghubungi telefon bimbit saudaranya dan dalam perbualan singkat itu, dia sempat menceritakan saat getir dan penderitaan dialaminya sepanjang berada di negara orang.

“Dia bercakap dengan saya selama dua hingga tiga minit saja dan dalam perbualan itu, naluri saya sebagai seorang ibu dapat berasa keperitan hidup yang dilalui Nurul di (Pulau) Lombok.

“Walaupun pendengaran saya kurang baik, saya dapat dengar tangisannya meminta diselamatkan secepat mungkin, sambil memberitahu suaminya sudah kembali ke Malaysia dan meninggalkan dia keseorangan.

“Di sana (Lombok), Nurul terpaksa bekerja sebagai buruh dan minum air telaga. Lebih menyedihkan, apabila diberitahu Nurul sudah melahirkan anak tapi meninggal dunia sebelum usia mencecah satu tahun,” katanya.

Warga emas itu turut sukar mengawal titisan air mata ketika menceritakan semula detik kehilangan anaknya ketika ditemui di rumahnya di Parit 8/6L, Labu Kubong, Chenderong Balai, semalam.

Halimah berkata, hatinya berasa seperti dirobek-robek apabila Nurul meluahkan perasaan sedih kerana tersilap memilih jalan dan mahu kembali ke pangkuan keluarga ketika berbual menerusi telefon bimbit.

“Saya sebak apabila mengetahui Nurul kini terpaksa mengharungi kesengsaraan di negara orang apabila terpaksa bekerja sebagai buruh kasar dengan gaji hanya RM5 sebulan untuk meneruskan hidup.

“Malah, derita yang dihadapinya juga sukar dibayangkan dan hanya gambar dihantar melalui saudara menjadi pengubat kerinduan sejak tiga tahun lalu,” kata ibu tunggal itu.

Halimah berkata, walaupun Nurul bukan anak kandungnya, kasih sayang yang dicurahkan tidak pernah berbelah-bagi kerana membelanya sejak berusia sembilan bulan sehingga dia dilarikan orang.

Dia juga sukar mempercayai Nurul sanggup meninggalkannya dengan lari bersama lelaki terbabit kerana gadis itu pendiam selain jarang bercakap dengan orang lain.

Menceritakan kembali peristiwa hitam itu, Halimah berkata, kehilangan Nurul bermula kira-kira tiga tahun lalu ketika dia bersama anak gadisnya itu ke bandar bagi membeli lauk-pauk dan menaiki bas untuk pulang ke kampung selepas urusan selesai.

“Namun, selepas beberapa ketika berada dalam bas, Nurul meminta wang RM2 untuk membeli air dan selepas itu, dia tidak muncul menyebabkan saya risau.

“Saya turun dari bas untuk mencarinya, namun tidak jumpa hingga bas pun terlepas dan terpaksa pula menaiki teksi sapu pulang ke kampung.

“Sejak hari itu hingga sekarang, saya tidak putus-putus berdoa dan mengharapkan dia pulang dengan selamat,” katanya sambil menatap gambar Nurul dan anaknya.

Ditanya mengenai masa depan Nurul, Halimah berkata, dengan hati terbuka dia kini bersedia menerima Yusup sebagai menantu dan tidak keberatan membenarkan kedua-dua mereka tinggal bersama dengannya.

Katanya, dia juga merayu kerajaan Malaysia segera campur tangan untuk membawa Nurul pulang ke pangkuan keluarga.

“Saya amat berharap kerajaan Malaysia dapat berbuat sesuatu supaya dia (Nurul) dapat kembali semula ke pangkuan kami sekeluarga dan memulakan kehidupan baru.

“Malah, saya juga bersedia memaafkan kedua-dua mereka sekiranya Nurul dan Yusup sudah insaf serta bertaubat dan mahu kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Sementara itu, jirannya, Saebah Marwan, berkata sejak ketiadaan anaknya, Halimah sentiasa menangis dan sedih, namun yakin gadis itu tidak mengikut lelaki terbabit atas kerelaannya.

“Saya kenal Nurul dari dulu lagi. Dia sentiasa berada di sisi Halimah dan hubungan mereka berdua sangat rapat sehingga tiada siapa percaya Nurul adalah anak angkatnya.

“Sehingga kini, kami sekeluarga pun tidak yakin atau percaya Nurul boleh membuat keputusan sebegini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment