PETALING JAYA 1 April — Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau sedia bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Disember ini sekiranya mendapat sokongan akar umbi. Bagaimanapun, Mukhriz yang juga Exco Pemuda Umno, berkata beliau tidak akan bertanding jika ketua pergerakan itu Datuk Seri Hishammuddin Hussein memutuskan untuk kekal memegang jawatan itu.
“Saya belum buat keputusan. Saya kena tunggu dahulu bos saya, Datuk Hisham, untuk menyatakan jawatan apa yang beliau akan bertanding,” katanya kepada pemberita pada Forum “Umno Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12: Satu Penilaian” anjuran portal internet MYKMU.Net di Hotel Singgahsana di sini hari ini.
Beliau mengulas sokongan mereka yang menghadiri forum itu yang mahukannya bertanding jawatan Ketua Pemuda yang dipegang Hishammuddin sejak 2000. Sebelum ini, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo juga menyuarakan hasrat untuk merebut jawatan itu.
Forum yang dihadiri lebih 1,200 peserta itu turut menyaksikan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucap utama. Forum yang dikendalikan moderator Datuk Ahmad A.Talib itu juga menampilkan Ketua Penerangan Umno Johor Dr Puad Zarkashi, selain Mukhriz dan Mohamad Khir, sebagai ahli panel.
Mohamad Khir pula ketika ditanya sama ada beliau akan memberi laluan kepada Mukhriz, berkata, perkara itu tidak menjadi masalah asalkan Mukhriz mendapat 20 peratus pencalonan daripada Bahagian Umno seperti ditetapkan perlembagaan parti.
“Kita akan bincang dan tengok macam mana,” kata Mohamad Khir, satu-satunya pemimpin Umno yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Umno negeri ekoran kekalahan BN dalam pilihan raya umum lalu menyaksikan lima negeri termasuk Selangor jatuh ke tangan pembangkang.
Diminta mengulas siapa yang layak untuk bertanding presiden parti selain Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Mukhriz berkata, yang penting ialah anggota parti perlu diberi hak untuk memilih pemimpin mereka.
“Secara peribadi saya cenderung (sokong) kepada Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata Mukhriz yang sebelum ini mengutus surat peribadi kepada Abdullah memintanya meletak jawatan ekoran prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya 8 Mac lepas.
“Saya berpendapat pucuk pimpinan harus bertanggungjawab, dan Perdana Menteri dan Presiden Umno harus berundur secara terhormat. Dengan kepimpinan baru, mungkin dengan Majlis Tertinggi baru, kita boleh mulakan reformasi,” katanya.
Bagaimanapun, Puad dan Mohamad Khir tidak bersetuju bahawa kesalahan itu harus diletakkan 100 peratus kepada kepimpinan parti sebaliknya mereka berpendapat ia perlu dipikul secara bersama.
“Kami (Umno Johor) tidak memutuskan yang Pak Lah (Abdullah) harus berundur.
Yang kami mahu ialah Umno menjadi lebih kuat,” katanya.
Mohamad Khir berkata, menukar kepimpinan tidak akan menyelesaikan masalah.
Katanya, peralihan sokongan rakyat kepada parti bukan daripada BN disebabkan mereka tidak berpuas hati dengan beberapa isu seperti pengagihan kekayaan negara dan pendidikan. - Bernama
No comments:
Post a Comment