20 April 2008

Bayi terbang

KOTA TINGGI: Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan hanya cedera ringan biarpun ‘terbang’ keluar dan terjatuh di atas jalan selepas kereta dinaiki bersama keluarga berpusing dua kali akibat merempuh sebuah bas henti-henti di Kilometer 40.6 Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, tengah hari semalam.

Sebaik tercampak di tengah jalan, Muhammad Nur Haikal diselamatkan seorang lelaki, Karim Salim, 33, yang menumpang sebuah bas kilang menuju ke Mersing.

Selepas menyaksikan kejadian itu, Karim segera turun dari bas sebelum menyelamatkan Muhammad Nur.

Menurut Karim, dia dan adiknya menumpang sebuah bas kilang selepas membeli peralatan enjin bot dari Johor Bahru.

Apabila sampai di tempat kejadian, dia ternampak Proton Iswara itu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah bas henti-henti.

“Saya nampak kereta itu merempuh bas sebelum berpusing sekurang-kurangnya dua kali. Apabila bas yang saya tumpang itu berhenti, saya terus berlari ke kereta itu dan ternampak beberapa penumpang di dalamnya berdarah dan menjerit kesakitan.

“Saya lihat seorang bayi menangis di atas jalan raya dipercayai tercampak keluar. Saya segera mendukungnya bagi mengelak dilanggar kenderaan yang melalui kawasan itu.

“Saya menahan enam kereta, malangnya pemandu hanya berhenti sebentar dan enggan membantu, termasuk seorang daripadanya menyatakan ‘ini bukan urusan aku’. Bagaimanapun, tidak lama kemudian seorang pemandu membantu membawa bayi itu ke hospital manakala saya dan orang ramai mengeluarkan mangsa dari kereta,” katanya.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, pemandu Proton Iswara terbabit, Mohd Anuar Subani, 33, meninggal dunia selepas dua jam dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Selain bayi itu, ibunya, Dillawati Arbain, 26, datuknya, Arbain Harun, 62, serta bakal menantu Arbain, Zainah Ahmad, 27, cedera.

Arbain sebelum itu meminta Mohd Anuar yang juga anak angkatnya membawa mereka dari Felda Adela, Johor Bahru, untuk melawat seorang lagi anak Arbain, Norin, 23, yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru dan dijaga isterinya, Amnah Ahmad, 49.

Sementara itu, Dillawati berkata, ketika kejadian, dia duduk di belakang dengan memangku Muhammad Nur Haikal.

“Selepas rempuhan, saya rasa seperti berpusing dan keadaan tunggang-langgang sehingga kaki saya ternaik ke atas dan tidak sedar bayi saya tercampak keluar,” katanya yang patah tangan kanan dan tulang pinggul hingga terpaksa dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Mengulas kejadian itu, Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata siasatan awal mendapati Proton Iswara itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan ketika menuju ke Johor Bahru menyebabkan pemandu sebuah bas henti-henti yang dalam perjalanan dari Terminal Pengangkutan Awan Larkin ke arah Mersing, gagal mengelak.

Beliau berkata, ketika pemandunya cuba mengelak, bas dinaiki 16 penumpang, termasuk empat warga Korea dari satu keluarga itu masuk ke kiri laluan sebelum terlanggar sebatang tiang syarikat utiliti.

“Mohd Anuar cedera parah dan dihantar ke Unit Kecemasan HTK, tetapi meninggal dunia dua jam kemudian. Arbain yang duduk di sebelah pemandu, cedera di mata, muka dan tangan sementara Dillawati patah tangan kanan dan cedera di pinggang.

“Bayi itu cedera di kepala, Zainah cedera di muka manakala Norhayati cedera di kaki. Jenazah Mohd Anuar dibawa pulang ke rumah keluarganya di Felda Kledang selepas bedah siasat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment