Rakyat bantah kehadiran warga Israel, bukan Chelsea
Meski pun tidak ada hubungan diplomatik dengan negara haram Israel, Kerajaan Malaysia kelmarin mengesahkan kesediaannya menerima kunjungan dua warga negara pengganas dunia itu ke negara ini atas dasar sukan.
Dalam satu kenyataan disiarkan akhbar harian semalam (Isnin, 28 April), Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar menegaskan pihaknya tidak ada halangan untuk membenarkan mereka datang ke Malaysia selagi ia bukan ancaman serta tidak membawa fahaman atau ideologi Zionis.
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat kedatangan kelab itu (Chelsea) yang memilih Malaysia sebagai salah satu destinasi mereka dalam siri jelajah Asia Timur dari aspek masyarakat dan sukan, bukan politik.
"Jadi tidak timbul isu pemain warga Israel itu menjadi ancaman kepada negara atau tidak. Visa dikeluarkan KDN dan kita tidak nampak lawatan itu mengancam negara,"katanya, sebagaimana dipetik akhbar.
Hamid Albar mengatakan demikian sebagai mengulas kedatangan pasukan bola sepak Liga Perdana Inggeris, Chelsea ke negara ini. Pasukan itu dijangka beraksi di Malaysia penghujung Julai ini. Pengurusnya, Avram Grant dan pemain pertahanannya, Tal Ben Haim merupakan warga Israel.
Diketahui umum, Malaysia bukan sahaja tidak ada hubungan diplomatik dengan negara haram itu, bahkan negara kita turut menjuarai perjuangan menentang keganasan dan kezalimannya di Asia Barat, terutama terhadap rakyat Palestin dan Lubnan.
Sejak sekian lama sebarang hubungan atau kerjasama dengan Israel adalah suatu yang sangat sensitif bagi umat Islam serata dunia. Perbuatan berbaik-baik dengan negara pembunuh itu, dalam apa jua bentuk, dianggap suatu yang sangat hina dan mencemar maruah Islam.
Sebab itu agak mendukacitakan kita semua apabila kerajaan Malaysia menyatakan kesediaannya menerima kehadiran warga Israel ke bumi umat Islam ini, semata-mata atas dasar sukan. Bahkan, Hamid Albar yang mengakui dirinya sendiri seorang peminat Chelsea, sudah mengingatkan agar perkara ini tidak seharusnya dijadikan isu politik.
Bagi kita, pendirian Kerajaan Malaysia ini perlu diperhalusi menerusi beberapa persoalan dan pemerhatian. Pertama, perlu diakui penentangan atau bantahan terhadap kehadiran pasukan Chelsea bukan kerana bencikan pasukan bola sepak itu. Kita percaya pasukan Stamford Bridge itu bukan sahaja diminati Hamid Albar seorang, tetapi juga jutaan umat Islam negara ini.
Isu di sini ialah keterlibatan dua warga Israel dalam pasukan itu. Jika boleh diusahakan agar dua 'malaun' itu tidak ikut serta memasuki Malaysia, kita percaya tidak akan berbangkit lagi sebarang bantahan. Apakah tidak boleh bagi Chelsea bertolak ansur dan beraksi di Malaysia tanpa dua orang itu?
Kedua, Hamid Albar menganggap kehadiran Grant dan Ben Haim bukan ancaman kepada negara. Atas sangkaan baik, mereka dirasakan tidak akan membawa fahaman atau ideologi Zionis ke negara kita. Mereka ke sini semata-mata atas dasar sukan.
Amboi, mudahnya pemimpin kita menilai pegangan hidup orang lain! Apakah semudah itu bagi seorang berfahaman Zionis meninggalkan ideologinya di belakang apabila memasuki negara umat Islam?
Sebagai perbandingan, apakah sebegitu mudah bagi seorang pemimpin Umno mengenepikan fahaman dan ideologi politiknya apabila berkunjung ke Kelantan atau Kedah yang diperintah PAS? Rasanya, dalam hal ini, Hamid Albar sendiri pun tidak dapat memberi kepastian, betul tak?
Inikan pula bagi seorang berfahaman Zionis yang diketahui sangat menekankan ketaatsetiaan penganutnya kepada ideologi tersebut walau di mana pun mereka berada dan apa jua kerja yang mereka lakukan.
Ketiga, perlu diingat bahawa pembentukan negara haram Israel adalah atas dokongan kuat setiap warganya. Apa jua yang dilakukan dan disumbangkan setiap mereka menjadi saham kepada setiap kezaliman dan keganasan Israel, terutama kepada umat Islam di Palestin.
Apakah dengan hidup di Eropah, Grant dan Ben Haim tidak ada saham langsung kepada negara mereka? Dengan membenarkan mereka memijak bumi negara ini bererti kita mengiktiraf orang yang turut sama ada saham atas pengaliran darah dan nyawa umat Islam di Palestin dan Lubnan.
Keempat, dan paling utama, apakah negara Israel sendiri berkongsi pendirian Malaysia dalam membezakan antara politik dan aspek kehidupan lain, termasuk masyarakat dan sukan? Contohnya sudah ada. Apa kena-mengena ibadat haji dengan politik Palestin? Namun kita tahu rombongan haji negara itu menjadi sasaran sekatan Israel di pintu masuk ke Gaza musim lalu.
Apa pula pertimbangan 'waras' menyebabkan Israel menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza berbulan-bulan lamanya? Sepatutnya pemimpin Malaysia berhujah soal bantuan makanan, elektrik dan ubatan adalah soal kemanusiaan. Perbalahan rejim Israel dengan Hamas adalah masalah politik.
Jika mahu berlunak dengan Israel, sepatutnya pemimpin kita nasihatkanlah negara pengganas itu agar tidak mencampur-adukkan kedua-dua urusan itu. Apakah Israel pernah menggunapakai pertimbangan mudah sebegitu?
Bahkan, peluru tentera Israel tidak pernah membezakan antara pejuang Hamas dengan warga tua yang tidak bermaya. Bom mortar dan jet pejuang Israel tidak pernah peduli untuk mengasingkan sasaran terhadap pejuang Fatah atau pun kanak-kanak.
Akhbar harian sehari-dua ini turut memaparkan keganasan berterusan rejim Zionis itu termasuk terhadap kanak-kanak dan orang awam. Mengapa kita mudah sangat mahu meraikan mereka, lalu membezakan soal politik dengan sukan?
Kelima, kita melihat kecenderungan bertolak ansur terhadap kehadiran warga Israel ini akan membuka ruang 'kerjasama' atau hubungan lebih luas dalam aspek lain pula. Kali ini giliran Hamid Albar berhujah atas dasar masyarakat dan sukan. Bagaimana pula nanti jika ada rombongan pelajar Israel mahu datang ke negara kita atas dasar pendidikan pula?
Selepas itu mungkin akan ada pula beberapa syarikat perniagaan yang menghujah perlunya dibawa masuk beberapa barangan Israel atas dasar keperluan ekonomi. Maka nantinya yang tinggal tidak ada hubungan hanyalah secara rasmi dalam bidang politik atau diplomatik. Apa maknanya pendirian sebegitu?
Sebetulnya, soal politik amat sukar dipisahkan dengan apa jua aspek kehidupan. Oleh itu, para pemimpin kita tidak sepatutnya terus cuba memperbodohkan rakyat dengan hujah kononnya sukan adalah sukan dan tidak ada kena-mengena dengan ideologi pemerintahan sesebuah negara. Apatah lagi bagi Israel, politik dan agama mereka adalah satu ideologi yang tidak terpisah.
Sekali lagi disebutkan, kita bukan membantah kehadiran pasukan Chelsea. Yang dibantah ialah dua warga Israel yang menganggotainya.
http://www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment