Hukum penjara terhadap warga Bangladesh dibatalkan
SHAH ALAM 29 April - Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Jabatan Imigresen Malaysia supaya hukuman penjara tujuh bulan dan sebatan dua kali yang telah dijatuhkan ke atas seorang warga Bangladesh, dibatalkan.
Hakim Datuk Syed Helmy Syed Ahmad membenarkan permohonan tersebut setelah Imigresen mengakui bahawa Munjurul Alam, 36, yang didakwa atas tuduhan tidak memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) sebenarnya memiliki dokumen tersebut. Sehubungan itu, beliau memerintahkan supaya responden dilepaskan serta-merta.
Dalam penghakiman, Hakim Syed Helmy menyifatkan kes itu satu penganiayaan kepada responden akibat penyiasatan yang dijalankan Imigresen terlalu lemah kerana pihak berkuasa itu sepatutnya mengemaskini penyiasatan mereka.
‘’Selepas membuat semakan, saya mendapati ini satu kesilapan yang amat nyata oleh Imigresen sehingga menyebabkan kamu menjalani hukuman walhal kamu sebenarnya tidak bersalah,’’ tegas Hakim Syed Helmy.
Munjurul Alam didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 7.30 pagi, 10 Januari lalu di sekitar pasar Seksyen 16 di sini. - Utusan
No comments:
Post a Comment