GMI kesal tempoh tahanan ISA dilanjutkan 8 tahun
KUALA LUMPUR, 10 April (Hrkh) - Tiada lebih memeritkan bagi mangsa ISA dan keluarga masing-masing apabila tempoh penahanan mereka dilanjutkan dua tahun lagi, selepas enam tahun dikurung tanpa bicara.
Menurut Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, awal tahun ini seramai lima lagi tahanan ISA dilanjutkan tempoh tahanan. Mereka adalah Yazid Sufaat, Suhaimi Mokhtar, Shahrial Sirin, Dr Abdullah Daud dan Abdullah Minyak Silam.
"Kami sangat kesal dengan keadaan ini. Surat yang dikeluarkan kepada tahanan tidak memberitahu alasan penahanan mereka dilanjutkan. Seolah-olah mereka tidak menganggap tahanan itu manusia," kata beliau yang ditemui, di sini, 5 April lalu.
Isteri Abdullah, Siti Norma, hanya mampu melahirkan rasa kesal terhadap sikap Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak mengendahkan tuntutan tahanan dan keluarga mereka.
"Sehari sebelum pilihan raya umum lalu, iaitu 7 Mac, saya dimaklumkan tempoh lanjutan itu. Hendak kata terkejut, mungkin tidak kerana sudah menjangkakan kemungkinan tersebut.
"Hendak kata kecewa pun tidak, kerana saya tidak meletakkan harapan yang tinggi. Tapi saya kesal kerana Perdana Menteri tidak mengubah keadaan ini, malah memburukkan lagi keadaan," tegas Siti Norma ketika dihubungi, 8 April lalu.
Bagaimanapun, beliau masih mengharapkan keadilan berada di pihaknya apabila menerima salinan surat yang ditujukan kepada Menteri Hukum Indonesia daripada Komisi Hak Asasi Indonesia, yang mendesak menteri berkenaan mengambil tindakan segera berhubung penahanan suaminya yang merupakan warga Indonesia serta tahanan lain.
Sementara itu, aktivis GMI, Norlaila Osman, yang juga isteri tahanan Mohd Sah Satray, berkata kesan penahanan ISA cukup mengharu-birukan kehidupan para tahanan dan keluarga mereka, khususnya para isteri.
Menurutnya, isteri Shahrial, Fatma Masrun mengalami keperitan dahsyat ekoran kekejaman ISA ini, apatah lagi setelah penahanan suaminya dilanjutkan dua tahun lagi, menjadikan lapan tahun.
Kata Norlaila, dengan lima orang anak yang masih bersekolah, Fatma kini menjadi seorang guru di sebuah sekolah swasta bagi menampung keperluan anak-anaknya, di samping mendiami sebuah rumah yang agak usang, di Hulu Langat.
Lebih mengharukan, isteri kepada Abdullah Daud, Zakiah Mat terpaksa menanggung 12 orang anak mereka yang sedang membesar di Johor Baharu.
"Dengan kos sara hidup yang tinggi di JB, beliau terpaksa bersengkang mata, membanting tulang empat kerat bagi memenuhi keperluan anak-anaknya yang sedang membesar.
"Beliau terpaksa bangun seawal jam empat pagi untuk menyediakan kuih untuk jualan. Lingkaran hitam di bawah matanya menunjukkan penderitaan yang ditanggungnya ekoran kekejaman ISA," cerita Norlaila.
Zakiah turut mengambil upah menjaga anak-anak jiran bagi menampung keperluan sehariannya.
Menyedari keperitan dan penderitaan berterusan yang dialami para isteri tahanan ISA, Norlaila berkata GMI kini dalam rangka kempen besar-besaran membebaskan seluruh tahanan terutama yang dikurung lebih enam tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman memaklumkan, pihaknya yang turut tersentuh dengan lanjutan tempoh penahanan mangsa ISA itu akan berusaha mengumpulkan dana bantuan kepada keluarga terbabit.
"Harakah akan berusaha menimbulkan kesedaran awam, bukan saja untuk terus menentang kezaliman ISA dan berkempen membebaskan semua mangsa di Kamunting, tetapi juga mengutip bantuan kewangan untuk disalurkan kepada keluarga mangsa yang amat memerlukan," ujar Lutfi.
Buat pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336.
http://www.harakahdaily.net
No comments:
Post a Comment