KUALA LUMPUR 19 Mac - Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang digugurkan daripada barisan Kabinet meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa hari ini.
Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu berkata, langkah itu dilakukan kerana beliau tidak dapat bekerja secara efektif sebagai setiausaha agung kerana tidak lagi berada dalam Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
Peletakan jawatan itu dianggap memeranjatkan oleh para pemimpin UMNO dan satu kehilangan besar kepada parti kerana UMNO dan BN sedang berdepan waktu sukar dan memerlukan pemimpin yang berpengalaman untuk mengendalikan situasi itu.
Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau menghormati keputusan Radzi itu.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada orang lain.
Ditanya mengenai dakwaan yang menyatakan Radzi meletakkan jawatan kerana dia tidak boleh berfungsi dengan berkesan tanpa jawatan dalam Kabinet, Abdullah berkata, itu mungkin persepsi masing-masing.
Tempat Radzi sebagai Setiausaha Agung UMNO telah pun diisi oleh bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Perdana Menteri berkata, walaupun keputusan belum dibuat, namun beliau telah bercakap dengan Tengku Adnan mengenai perkara itu.
‘‘Bekas Menteri Pelancongan itu bersedia untuk memikul tanggungjawab baru tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Radzi pada sidang akhbar bagi mengumumkan peletakan jawatannya itu memberi jaminan untuk meneruskan khidmat sebagai Ahli Parlimen Kangar bagi penggal yang terakhir.
Beliau memberitahu, hasrat untuk melepaskan jawatan dalam parti itu diterima oleh Perdana Menteri menerusi panggilan telefon pagi ini selain disusuli surat rasmi.
‘‘Saya bercakap melalui telefon dan menyatakan pendirian tidak boleh bekerja lagi. Saya memang tidak boleh bekerja dengan berkesan sebagai Setiausaha Agung UMNO kerana tidak berada dalam Kabinet. Abdullah turut meminta saya memberitahu media mengenai perkara ini.
‘‘Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat selama empat tahun sebagai menteri dan juga setiausaha agung parti.
‘‘Apabila tidak lagi disenaraikan sebagai menteri, itu bermakna saya tidak lagi diperlukan, selepas dinilai dan ditapis pelbagai perkara...mungkin Perdana Menteri memerlukan muka-muka baru dalam barisan Kabinet dan kamu boleh lihat sendiri senarai nama mereka.
‘‘Sebagai ahli politik, saya sama sekali tidak kecewa,’’ jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO di sini hari ini.
Radzi yang berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kangar menewaskan Tunku Abdul Rahman Tunku Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 13,671 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lepas tidak disenaraikan semula dalam Kabinet baru Perdana Menteri semalam.
Ketika ditanya punca peletakan jawatannya, Radzi yang dilantik menjadi Setiausaha Agung UMNO dan BN pada 1 Jun 2004 itu tidak menafikan terdapat tekanan daripada pihak lain yang mendorong beliau berbuat demikian.
Radzi turut menafikan desas-desus kononnya krisis beliau dengan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi salah satu punca peletakan jawatannya.
‘‘Saya akan sentiasa berada bersama UMNO dan BN. Saya akan membantu dalam apa jua keadaan,’’ katanya.
Utusan
No comments:
Post a Comment