20 March 2008

Lima cawangan Umno bubar, 1000 bakal sertai PKR

IKUT ke mana arus mengalir. Barangkali itulah yang sedang berlaku di negeri Selangor sekarang ini. Ribuan orang tiba-tiba menyatakan minat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak parti bercampur kaum itu mengetuai kerajaan campuran di negeri tersebut.

Dan terbaru, Naib Presiden PKR, Azmin Ali memberitahu lima cawangan Umno di Kampung Bukit Sungai Putih Ampang akan dibubarkan dengan semua ahlinya akan menyertai PKR dalam satu majlis khas pada 23 Mac ini.

Menurut Azmin, gelombang kebangkitan rakyat itu tidak terhad kepada ahli-ahli Umno dan orang Melayu sahaja, bahkan beliau menerima jemputan untuk penyerahan borang menyertai PKR dari berbagai kaum dan mereka yang selama ini tidak berminat menyertai mana-mana parti politik.

"Saya sendiri terpaksa menyuruh petugas parti membuat fotokopi borang keahlian kerana borang yang asal sudah kehabisan stok di ibu pejabat," katanya dalam satu temubual eksklusif dengan KLpos.com.

Jelas beliau, untuk program sehari sempena sambutan Maulidur Rasul di kawasan Parlimennya sahaja beliau menerima 12 jemputan.


"Saya sendiri terpaksa menyuruh petugas parti membuat fotokopi borang keahlian kerana borang yang asal sudah kehabisan stok di ibu pejabat," kata Azmin

"Saya terpaksa bahagikan masa betul-betul untuk tidak menghampakan orang ramai," jelas beliau.

Azmin bertanding Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa pada pilihanraya lalu, dan beliau menang di kedua-dua kerusi yang ditandinginya.

Latihan khas untuk Ahli Parlimen PKR

Sambutan hebat rakyat itu dalam dirasai ketika KLpos.com menemubual Azmin di sebuah restoran di pinggir ibu kota. Dalam masa sejam itu, ada dua individu datang secara berasingan, bersalaman sambil mengatakan sokongan kepada PKR.

Yang menarik, seorang dari mereka, mengaku jentera Pemuda Umno yang menolong kempen calon BN Titiwangsa, Datuk Aziz Jamaluddin "Saya tolong sebab saudara, tapi undi saya undi pembangkang," katanya ketawa.

Azmin yang ditanya apakah perancangan beliau selepas PKR menang besar di Selangor berkata, beliau lebih selesa memainkan peranan yang aktif di Dewan Rakyat.

"Rasanya saya tidak akan sertai pertadbiran negeri sebagai exco kerajaan," katanya berterus-terang.


"Semua 31 Ahli Parlimen PKR akan menyertai latihan khas untuk berhujah dan terlibat dengan perbahasan nanti."

Mungkin sebagai Naib Presiden kanan PKR, beliau merasakan lebih selesa untuk memantau aktiviti parti tersebut di peringkat nasional berbanding menghabiskan banyak masa menguruskan pentadbiran negeri.

Kata Azmin, sebagai persediakan untuk masuk ke Dewan Rakyat, semua 31 Ahli Parlimen PKR akan menyertai latihan khas untuk berhujah dan terlibat dengan perbahasan nanti.

"Kita hendak semua Ahli Parlimen kita memainkan peranan aktif, menyertai perdebatan dan tidak merasa kekok menjalankan tanggungjawab mereka di Dewan Rakyat," katanya sambil membayangkan latihan tersebut akan dijalankan oleh seorang yang sangat arif tentang Dewan rakyat.

"Betul ke dah menang,"

"Saya sampai pagi tadi pun, bangun tidur masih berfikir, betul ke kita sudah menang ini," kata Azmin ketawa.

Menurutnya, biarpun ada menaruh harapan untuk menguasai Selangor, namun berdepan dengan realiti tidak mudah untuk membayangkannya.

Menceritakan pengalaman lucu beliau sejak menang pilihanraya 8 Mac lalu, kata Azmin, "Ada satu majlis saya diminta merasmikan program, bila sampai rupanya dibuat di Dewan Orang Ramai, dengan penghawa dinginnya, pembesar suara yang canggih, wah baru sedang oooh, macam inilah rasanya bila jadi pemimpin kerajaan,".

Azmin sebelum tahun 1998 merupakan Setiausaha Sulit Timbalan Perdana Menteri.

"Masa itu lain, kita kerja dengan orang, sekarang ini kita sendiri jadi pemimpin, tanggungjawabnya berat lagi," kata beliau.

Mengenai Pusat Khidmatnya, kata Azmin, beliau sedang mencari lokasi yang sesuai.

"Kita akan buka bersama dengan tempat tuisyen untuk pelajar, perpustakaan dan pusat komoditi masyarakat," tambahnya lagi.

http://klpos.com

No comments:

Post a Comment