20 March 2008

Nabil berjaya buang ‘badi’

TIDAK pernah menduduki takhta nombor satu dalam apa jua pertandingan yang disertai selama ini termasuk peperiksaan ketika zaman persekolahan, Nabil akhirnya berjaya membuang ‘badi’ malang itu.

Dengan kejayaan merangkul gelaran Raja Lawak ketika beraksi di peringkat akhir program realiti terbitan Astro itu baru-baru ini, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 25, membuktikan yang dia kini bukannya orang yang selalu berada di kedudukan belakang.

Walaupun kemenangan tersebut sudah dijangka, Nabil sedikit pun tidak mengambil mudah malah menampakkan kesungguhan untuk memperoleh gelaran itu.

“Sejak kecil sehingga sekarang, saya memang tidak pernah menjuarai apa-apa pertandingan.

“Ketika zaman sekolah pula, saya hanyalah pelajar biasa dan hendak mendapat nombor satu dalam peperiksaan, itu hanyalah satu mimpi.

“Kini, saya sangat berbangga dan gembira kerana akhirnya saya berjaya memperoleh kejuaraan,’’ katanya sebaik ditemui selepas diumumkan sebagai Raja Lawak musim kedua yang diadakan di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya, Selangor hujung minggu lalu.

Diumum sebagai Raja Lawak, Nabil berjaya mengenepikan dua pesaingnya iaitu kumpulan Cham dan XN3.

Apa yang mengejutkan, Nabil memperoleh peratusan undian tertinggi iaitu 77 peratus, manakala Cham yang dianggotai Muhammad Nizamudin Ahmad dan Asrul Zaidi Jamaluddin pula dengan 19 peratus.

Amat malang bagi XN3, walaupun mempamerkan lawak yang berjaya memikat hati penonton, kumpulan yang dianggotai Mohd. Fadhil Mohd. Nasir serta Nor Azhar Buyong hanya memperoleh empat peratus undi sahaja.

Pada final program itu, Nabil mempertaruhkan sketsa Drakula dan Ini Cerita Saya.

Selain memperoleh peratus undian tertinggi, Nabil turut menerima sorakan padu daripada penonton yang bertandang di Dewan Sivik MBPJ.

Malah, ‘tahap’ lawak yang dibawakan oleh Nabil juga turut mencuit hati tiga pengkritik tetap iaitu Zaibo, Harun Salim Bachik dan Enot, selain tiga juri jemputan, Mamat Khalid, Afdlin Shauki serta Salih Yaacob.

Dengan kejuaraan yang diumumkan itu, Nabil meraih wang tunai RM10,000, sebuah kereta Nissan Latio Sedan 1.8, pakej percutian ke Gold Coast, Australia dan sebuah trofi.

Tinggalkan kerja lama

Sebaik bergelar Raja Lawak, Nabil menjelaskan, dia tidak akan berpatah semula ke pekerjaan asalnya iaitu penghantar surat atau ‘mat despatch’.

Ini kerana, Nabil sudah menetapkan hala tuju masa depan untuk meneruskan bidang yang diminatinya iaitu hiburan.

Bukan hendak menghina pekerjaan lama, tetapi Nabil berasakan dia perlu mengembangkan bakat yang selama ini terpendam dalam dirinya.

“Sampai bila saya hendak jadi macam dahulu. Saya perlu memikirkan masa depan dan akan meneruskan karier dalam bidang hiburan. Untuk itu, saya tidak akan berbalik ke kerja lama,’’ jelas Nabil.

Platform kembangkan bakat

Sementara itu, sama seperti juara Raja Lawak musim pertama iaitu Yusri Edoo atau Yus, pihak Astro juga telah menyediakan platform untuk Nabil mengembangkan bakat.

Pengurus Saluran Astro Prima, Khairul Anwar Salleh berkata, dalam masa tiga minggu ini, Astro akan memaparkan kisah Nabil, Cham dan XN3 selain memperkenalkan program Gelanggang Lawak selama 13 minggu.

“Melalui Gelanggang Lawak, kami akan menjemput beberapa artis serta finalis Raja Lawak musim kedua.

“Ini merupakan platform yang disediakan oleh Astro bagi membolehkan bakat mereka terus berkembang,” kata Khairul.

Lihat video - video Nabil, klik di sini.

Utusan

No comments:

Post a Comment