20 March 2008

Sial Penyapu, Khir Toyo Ikut Jejak Radzi

Khir Toyo pula letak jawatan

Bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo melepaskan jawatannya sebagai ketua badan perhubungan Umno dan BN negeri - peletakan jawatan pemimpin kanan kedua dalam sehari selepas Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad melepaskan setiausaha agung Umno dan BN pagi tadi.

Sewaktu mengumumkan perkara itu, Mohd Khir berkata beliau mengambil keputusan itu sebagai memikul tanggungjawab atas ketewasan besar-besaran calon Umno dan BN dalam pilihanraya umum 8 Mac.

"Jika keputusan (letak jawatan) ini lambat dibuat, pelbagai masalah akan berlaku, termasuk parti kita akan berpecah," katanya, sambil menegaskan sekarang bukanlah masa Umno berpecah.

"Saya lihat sekarang telah ada sikap saling salah-menyalah antara satu (pemimpin) sama lain. Saya melepaskan jawatan ini kerana rasa perlu bertanggungjawab terhadap prestasi buruk parti...

"(Keputusan) ini baik untuk (Umno) Selangor."

Jawatannya itu akan diambil alih oleh ketua penerangan Umno, dan juga bekas menteri besar, senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

"Saya berharap ahli Umno akan menyokong kepemimpinan baru," katanya.

"Saya akan terus menyokong Tan Sri (Muhammad) ... saya bersama Tan Sri akan turun ke bawah."

Pengumuman mengejutkan itu dibuat kira-kira 9 malam ini sebelum kedua-duanya menyertai mesyuarat badan perhubungan Umno negeri di Shah Alam.

Ura-ura peletakan jawatan Mohd Khir bermula lewat petang tadi.

BN gagal mempertahankan Selangor apabila mendapat 20 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Negeri itu kini ditadbir pakatan tiga parti pembangkang yang diketuai menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mohd Khir juga berkata, beliau telah berbincang dengan presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak sebelum mengambil keputusan tersebut.

Abdullah bersetuju dengan keputusan tersebut, tambah Mohd Khir.

Peletakan jawatan itu tidak disebabkan oleh tekanan pihak-pihak lain, katanya.

Mohd Khir berkata Umno akan merampas semula Selangor dan bedah siasat punca kekalahan mengejut itu sedang dijalankan.

Pagi tadi di Pusat Dagangan Dunia Putra, Radzi - yang tidak dilantik semula ke kabinet - meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung Umno dan BN berkuatkuasa serta-merta.

Beliau memberikan alasan tidak dapat lagi meneruskan tugas-tugas tersebut secara berkesan akibat tidak terpilih sebagai anggota kabinet.

"Saya rasa saya tidak boleh lagi bekerja.

"Pertamanya saya tidak lagi berada dalam kabinet. Jadi saya tidak boleh bekerja dengan berkesan sebagai setiausaha agung ... saya tak boleh kerja," katanya.

http://www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment