04 March 2008

Kami tidak pernah dipaksa: Panglima ATM

KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata anggota tentera tidak pernah dipaksa atau diarah untuk mengundi Barisan Nasional sebagai menghormati prinsip amalan demokrasi di negara ini.

Abdul Aziz berkata sejak daripada dulu hingga sekarang, anggota tentera tidak pernah dipengaruhi untuk memberi undi kepada Barisan Nasional kerana mereka juga mempunyai hak sepertimana orang awam lain untuk mengundi parti mana yang difikirkan layak mentadbir negara.

"Anggota tentera sekarang sudah bijak, mereka boleh menilai apa yang telah disumbangkan oleh kerajaan dan mereka tahu mana yang perlu dipilih.

"Siapa yang mereka undi terpulang kepada mereka tanpa dipengaruhi mana-mana individu," katanya kepada pemberita selepas taklimat pelaksanaan pilihan raya umum di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini Isnin.

Abdul Aziz berkata sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga keamanan negara, anggota tentera berdiri teguh di belakang manamana pemerintah yang dipilih rakyat.

Mengulas dakwaan mengatakan anggota tentera takut untuk memberikan undi kepada pembangkang kononnya bimbang undi mereka dipantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Aziz berkata dakwaan itu adalah tidak benar.

"Itu tidak benar. Kita jaga hak asasi amalan demokrasi yang diamalkan. Tiada pengaruh daripada mana-mana individu," katanya.

Abdul Aziz turut melarang semua anggota tentera daripada menghadiri mana-mana ceramah politik sama ada oleh parti pemerintah ataupun pembangkang.

Bagi menunjukkan proses pengundian secara pos oleh ATM diadakan secara telus, beliau mempelawa wakil-wakil parti politik yang bertanding, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan media untuk melihat sendiri proses pengundian itu.

Proses pengundian secara pos itu akan dijalankan pada Rabu dan Khamis ini di padang kawad Kementerian Pertahanan di sini.

"Wakilwakil parti yang berminat perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Pemerintah Kem dengan menghubungi bilik gerakan pilihan raya pengundi tanpa hadir (PTH) di Kementerian Pertahanan di sini," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment