04 March 2008

Aziz Tak Pengaruh Saya, Kata Dr Mahathir

SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) -- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menafikan bahawa beliau dipengaruhi oleh Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin dalam kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Beliau berkata keputusan pemecatan Anwar pada masa itu adalah berdasarkan maklumat daripada pihak polis dan dibincangkan bersama semua Menteri Besar dan anggota Majlis Tertinggi Umno sebelum tindakan diambil.

"Tak dak kena mengena langsung. Saya dapat laporan daripada pihak polis dan saya bincang dengan semua Menteri Besar dan kemudian saya bincang pula dengan Majlis Tertinggi Umno, baru saya buat keputusan. Macam mana Aziz nak pengaruh saya. Kalau dia pengaruh saya, la ni dia dah jadi Perdana Menteri la," katanya kepada pemberita selepas melawat jentera pilihan raya Parlimen Shah Alam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan pembangkang yang mengatakan Dr Mahathir kononnya dipengaruhi oleh Abdul Aziz yang ketika itu adalah Setiausaha Politiknya berhubung pemecatan Anwar.

Abdul Aziz akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam pada pilihan raya umum 8 Mac ini, dicabar calon PAS Khalid Abd Samad. Dua lagi wakil Barisan Nasional, Datuk Salamon Selamat akan ditentang Rodziah Ismail daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga manakala Datuk Ahmad Nawawi M Zain (DUN Kota Anggerik) ditentang Yaakob Sapari, juga daripada PKR.

Mengenai dakwaan parti pembangkang yang mengatakan bahawa beliau rasa bersalah dengan tindakan yang dikenakan kepada Anwar, Dr Mahathir berkata: "Saya cakap cara sinis pasai semua orang tau bukan saya tangkap dia (Anwar). Yang tangkap dia polis, yang bicara dia hakim, yang masukkan dia dalam penjara orang lain bukan saya."

Sementara itu, mengulas mengenai peluang BN pada pilihan raya umum kali ini, Dr Mahathir berkata pencapaian kali ini mungkin kurang baik berbanding 2004 tetapi lebih baik daripada pilihan raya umum 1999.

Dalam ucapan, beliau turut mengingatkan calon BN supaya bekerja keras jika mereka menang pada pilihan raya kali ini.

"Kalau lepas menang, tak kerja, beritahu saya. Saya ada rotan besar. Saya akan tibai mereka yang tak buat keja," katanya.

Beliau turut mengingatkan para pemimpin supaya tidak menongkat langit dan tidak menjadi wakil rakyat selama-lamanya, sebaliknya memberi peluang kepada muka baru.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment