Malaysiakini : Zam, Ada Pakatan Ambil Alih Negara
Bekas menteri penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin mendakwa wujud segolongan muda yang cuba mengambil alih pucuk kepimpinan negara secara terurus dan terancang menerusi pilihanraya umum lepas untuk perubahan politik secara mendadak.
Rancangan itu bagaimanapun gagal kerana dipatahkan oleh tsunami politik yang berlaku, tambahnya hari ini seperti laporan Bernama.
"Tsunami politik" merujuk pada ketewasan besar-besaran BN sehingga hilang lima negeri dan juga gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada pilihanraya Sabtu lepas.
Zainuddin tidak menghurai lebih jelas dakwaannya itu.
Bagaimanapun, menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin dipercayai sedang membariskan bakat-bakat baru untuk memastikan sokongannya semakin kuat dalam Pemuda Umno apabila lebih 40 peratus calon BN baru-baru terdiri daripada pergerakan itu.
Kelmarin mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab ringkas isu kekalahan calon-calon muda BN dengan mengaitkannya dengan Khairy.
Bercakap kepada media di Angkasapuri pagi tadi, Zainuddin dilaporkan berkata tsunami politik itu ada hikmahnya kepada Umno dan memberi pengajaran besar kepada kepimpinan negara.
"Setiap tragedi politik yang menimpa Umno dan rakyat, ia membawa hikmah, membuka fikiran dan penggemblengan semula kepimpinan Umno dan kesedaran rakyat bagi muhasabah diri.
"Ia juga untuk meletakkan semula kepimpinan Umno kepada jalan yang dihasratkan oleh rakyat, sekalipun ia adalah suatu yang amat berat untuk dilakukan," Zainuddin dipetik sebagai berkata
Zainuddin tewas di kerusi parlimen Sungai Petani. Pada 2004 beliau menang di kerusi Merbok.
- Malaysiakini
No comments:
Post a Comment