Khir Buka Mulut Selepas Empat Hari Menyepi Diri
SHAH ALAM, 12 Mac (Bernama) -- Empat hari selepas menyepikan diri ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) Selangor dalam pilihan raya umum ke-12 pada Sabtu lepas, Selasa malam Pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berikrar memastikan kerajaan baru negeri itu yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengotakan janji-janji dalam manifesto mereka.
Bekas Menteri Besar Selangor itu juga berikrar menjadikan BN sebagai barisan pembangkang yang kuat untuk memastikan segala yang dibina oleh parti itu sebelum ini dijaga dengan baik oleh kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS itu.
"Saya akan pastikan rakyat Selangor dapat pembelaan, dan BN Selangor berharap kerajaan baru akan dapat menjaga rakyat dengan baik agar mereka menikmati hidup yang berkualiti.
"Kita juga tidak mahu jika ada halangan tertentu dikenakan ke atas mana-mana agama lain, kita harap mereka akan berlaku adil pada orang lain," katanya dalam persidangan akhbar di pejabat Umno di sini.
Khir berkata walaupun tewas, BN Selangor sebenarnya lebih kuat berbanding kerajaan campuran itu kerana BN memenangi 20 kerusi berbanding parti-parti yang memerintah iaitu PKR hanya menang 15 kerusi, DAP (13) dan PAS (8).
Justeru itu katanya, BN tidak akan mempunyai masalah untuk memastikan 'suara' pembangkang didengar, khususnya dalam menuntut janji-janji dalam manifesto ketiga-tiga parti yang berkenaan, dikotakan.
"Kita tuntut, kita akan pastikan semua janji-janji dilaksanakan. Mereka tidak perlu bimbang, kita akan bantu mereka.
Kita akan daftar golongan sasaran," katanya. Menurutnya PKR, DAP dan PAS mempunyai manifesto masing-masing dan antara janji yang dibuat di kalangan mereka ialah perubatan percuma untuk warga emas berusia 65 tahun ke atas, elaun khas bagi ibu tunggal, serta pengurangan cukai pintu kediaman sebanyak 20 peratus.
Dr Mohamad Khir seterusnya menafikan dakwaan bahawa kerajaan BN Selangor memusnahkan dokumen-dokumen penting sebelum menyerahkan tampuk pimpinan kepada kerajaan campuran itu.
"Tiada apa yang hendak diselindungkan, saya amat telus, jangan nak buat cerita yang bukan-bukan, semuanya teratur," katanya.
Beliau turut menolak desas-desus BN Selangor sedang berusaha menyakinkan PAS agar menyertai mereka untuk membentuk kerajaan campuran.
"Tidak, ia cuma khabar angin. Kami memutuskan untuk kekal sebagai pembangkang," katanya.
Dr Mohamad Khir berkata mulai sekarang BN Selangor akan memberi tumpuan kepada usaha memastikan parti itu kembali menguasai Selangor pada pilihan raya umum akan datang.
Ditanya sama ada BN sudah menjalankan 'post-mortem' bagi mengkaji punca kekalahan mereka, beliau berkata ia belum dilakukan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment