JOHOR BAHARU: Biarpun berbeza fahaman politik, namun ia tidak pernah merenggangkan hubungan kekeluargaan antara calon kerusi Parlimen Johor Baharu, Datuk Shahrir Abdul Samad dengan adiknya, Khalid Abdul Samad.
Adik kepada Pengerusi Jawatankuasa Kirakira Negara (PAC) itu bertanding bagi kerusi Parlimen Shah Alam atas tiket Pas.
"Ia tidak menjadi masalah kepada kita dari segi fahaman politik. Dia(Khalid) mengetahui pendirian saya, saya dalam Umno dan saya menganggap Umno itu perjuangan kepada masyarakat.
"Kami berdua menghormati antara satu sama lain, dan pertalian kami sebagai adikberadik tidak terjejas walaupun kami berlainan fahaman politik," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.
Walaupun kadangkala beliau berhadapan dengan "cakap-cakap" politik yang kurang menyenangkan, tetapi bagi Shahrir, ia tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya.
Berikutan perbezaan fahaman dan ideologi politik, beliau tidak pernah membantu adiknya dalam mana-mana kempen politik sebelum ini.
"Saya tidak pernah tolong, dari segi ideologi politik saya tidak pernah menyokongnya," katanya.
Adiknya, Khalid akan bertanding buat kali kelima sebagai calon pilihan raya umum dan pada kali ini akan berhadapan dengan calon BN di Parlimen Shah Alam, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin.
Shahrir pula akan berhadapan dengan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Karim. BERNAMA
No comments:
Post a Comment