KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhi hukuman penjara dua tahun terhadap bekas ustazah, Kamariah Ali yang didapati bersalah atas dakwaan murtad.
Hakim Mohamad Abdullah memerintahkan bekas pengikut kumpulan ajaran sesat, Ayah Pin berusia 57 tahun itu, menjalani hukuman di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan, berkuatkuasa Isnin.
Dalam penghakimannya, Mohamad berkata keputusan yang dibuatnya itu adalah berdasarkan kepada kepentingan awam.
Beliau berkata kesalahan yang dilakukan oleh Kamariah begitu serius dan perlu dipandang berat kerana perbuatannya itu terlalu sensitif di negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
"Banyak implikasi yang akan berlaku akibat daripada perbuatan Kamariah ini. Jika berlaku kematian, banyak pihak akan berbalah... di mana Kamariah hendak dikebumikan dan sebagainya sepertimana yang berlaku dalam keskes sebelum ini," katanya.
Mohamad berkata sebahagian daripada alasan yang diberikan Kamariah juga tidak kukuh malah dalam afidavit yang dikemukakan bagi menyokong pembelaannya, tertuduh juga keliru dalam mempertahankan haknya.
"Kekeliruan terdapat dalam afidavit... tentang kebebasan beragama dan hak untuk menganuti agama. Apa yang dibuat tertuduh tidak tergolong dalam kebebasan beragama. Sebab itu ada sekatan," katanya.
Mohamad berkata beliau juga tidak berpuas hati dengan pengakuan Kamariah pada 17 Feb lepas, bahawa dia sudah insaf dan telah bertaubat terhadap perbuatannya itu.
Ini kerana, beliau berkata Kamariah masih mengulangi perbuatannya itu sedangkan pada 1992, tertuduh pernah disabitkan dengan kesalahan yang sama di Mahkamah Rendah Syariah Kota Baharu, Kelantan dan telah diarahkan menghadiri temu janji taubat setiap bulan selama lima tahun di pejabat agama di negeri berkenaan.
"Malah, semasa saya memberi salam, saya tidak nampak mulut Kamariah bergerak menjawab salam saya. Ini tidak menggambarkan keikhlasan Kamariah," katanya.
Mohamad berharap hukuman yang dikenakan terhadap Kamariah itu akan menyedarkan tentang kesalahan yang dilakukannya.
Kamariah didakwa mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengaku bukan Islam, yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bekas ustazah yang berkelulusan agama dari Universiti Al-Azhar, Mesir itu dituduh mengeluarkan kenyataan telah keluar daripada Islam di hadapan Hakim Wan Abdul Malik Wan Sidek pada 12.50 tengah hari 21 Julai 2005 semasa di bilik bicara Mahkamah Rendah Syariah Besut.
Sementara itu, mahkamah menolak permohonan peguambela, Saadiah Din untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap anak guamnya itu kerana beliau akan memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut.
Mahkamah menetapkan 6 Mac ini bagi mendengar notis rayuan tersebut. Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syariah, Mustapha Hamzah. BERNAMA
No comments:
Post a Comment