30 March 2008

23 Adun Jamin Tiada Undi Tidak Percaya, Siasatan BPR Bagaimana?

Sebelum ini, BPR membuka penyiasatan ke atas seorang bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu berhubung dua projek di Kijal.

Ahmad angkat sumpah, 22 adun jamin tiada undi tidak percaya

KUALA TERENGGANU, 30 Mac (Hrkh) - Dato' Ahmad Said hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru dan sekaligus mengakhiri krisis pelantikan Menteri Besar negeri ini yang berlarutan sejak 10 Mac.

Bernama melaporkan, kesemua 22 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), yang sebelum ini tidak menyokong pelantikannya serta bekas Menteri Besar Dato' Seri Idris Jusoh, yang dinamakan sebagai Menteri Besar oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, menghadiri majlis angkat sumpah hari ini.

Istiadat di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin, berlangsung di Balairong Seri, Istana Maziah di sini, tiga hari selepas Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat keputusan menyokong pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu.

Selepas melafazkan sumpah jawatan dan ikrar taat setia sebagai Menteri Besar, Ahmad, 51, yang juga Adun Kijal kemudian menandatangani surat pelantikannya.

Istiadat itu turut disaksikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dan dua anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Semua Adun Terengganu termasuk daripada parti pembangkang menghadiri majlis hari ini. Dengan berpakaian baju Melayu serba hitam, Menteri Besar baru itu kelihatan tenang sepanjang berlangsungnya majlis itu.

Bagaimanapun sebelum beredar meninggalkan majlis, Ahmad kelihatan terharu apabila beliau bersalaman dengan Idris dan memeluk bekas Menteri Besar itu dalam keadaan penuh emosi.

Beliau turut bersalaman dengan Adun yang menghadiri majlis itu.

Sebanyak 22 Adun dari BN sebelum ini membantah pelantikan Ahmad dan beberapa orang daripada mereka bersedia meletakkan jawatan sebagai Adun jika Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua.

Jaminan tiada usul undi tak percaya

Sementara itu, Adun Ajil Dato' Rosol Wahid hari ini memberi jaminan barisan Adun BN tidak akan akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar baru pada sidang DUN, yang perlu diadakan dalam tempoh tiga bulan ini.

Beliau berkata krisis pelantikan Menteri Besar yang berlaku sebelum ini sudah cukup meresah dan mengelirukan rakyat dan Umno Terengganu merasakan bahawa tidak perlu lagi timbul perkara-perkara yang dikhuatiri boleh menjejaskan imej parti pada pandangan mata rakyat.

"Kita boleh beri jaminan tidak akan ada apa-apa masalah selepas ini, sebab yang mendukung kita sekarang ialah rakyat. Jadi kita nampak, tidak perlu lagi timbul isu-isu yang meresahkan rakyat. Hari ini telah masuk tiga hingga empat minggu rakyat resah dengan kemelut ini.

"Bagi mereka yang faham, tidak ada masalah, tetapi bagi yang kurang faham, mereka merasakan ini seolah-olah perbalahan berebut jawatan dalam Umno.

"Jadi saya yakin (persidangan) Dewan DUN nanti akan berjalan dengan lancar dan baik kerana matlamat kita adalah rakyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Pengerusi Perhubungan Umno, mana yang baik untuk rakyat, itulah yang terbaik untuk kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis serah terima tugas jawatan Besar Terengganu daripada Idris kepada Menteri Besar baru Datuk Ahmad Said di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Selepas ini, satu lagi majlis angkat sumpah akan diadakan untuk anggota Exco kerajaan negeri, apabila Ahmad selesai menyediakan senarai pelantikan dalam masa kira-kira 10 hari lagi.

BN menang 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu manakala selebihnya dimenangi oleh PAS.

http://www.harakahdaily.net

No comments:

Post a Comment