29 February 2008

SPR edar senarai pemilih mati

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengedarkan senarai nombor kad pengenalan dan nama-nama pemilih berdaftar, yang meninggal dunia dari 1 Januari sehingga 7 Mac ini, kepada semua ketua tempat mengundi di seluruh negara.

Langkah itu, untuk memastikan tiada pengundi lain yang akan mengguna pakai kad pengenalan pengundi yang telah meninggal untuk mengundi pada 8 Mac depan.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata, langkah itu membolehkan ketua-ketua tempat mengundi menandakan dalam buku daftar pemilih masing-masing nama pengundi yang telah meninggal dunia dan kertas undi tidak akan dikeluarkan.

Daftar Pemilih Induk (DPI) yang diguna pakai dalam pilihanraya umum ke-12 (PRU 12) diwartakan pada 5 Februari lalu dan mengandungi 10,922,139 pemilih yang telah dibersihkan daripada senarai pemilih yang meninggal dunia dari 1 Januari 2004 hingga Disember lalu, seramai 697,902 orang, demikian menurut Bernama.

Bagaimanapun, katanya SPR peka bahawa mulai 1 Januari lalu hingga 7 Mac ini, akan ada pemilih berdaftar yang tersenarai di dalam DPI yang meninggal dunia pada setiap hari.

"Tetapi peruntukan undang-undang pilihanraya semasa tidak membenarkan SPR terus mengeluarkan nama-nama mereka daripada DPI," katanya sambil menambah nama pemilih yang meninggal dunia sepanjang tempoh tersebut akan hanya dipamerkan pada depan untuk semakan orang awam.

Hukuman menyamar


Kamaruzaman berkata, arahan tegas turut dikeluarkan kepada ketua tempat mengundi di seluruh negara supaya mendapatkan bantuan anggota polis yang bertugas di setiap saluran mengundi untuk terus menangkap mana-mana pengundi yang menggunakan kad pengenalan pengundi yang telah meninggal dunia.

Katanya, ia adalah satu kesalahan penyamaran di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan lazimnya ditangkap di bawah Kanun Acara Jenayah.

"Jika sabit kesalahan, seseorang yang menyamar itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000," katanya.

Sebagai usaha berterusan SPR untuk membersihkan DPI daripada senarai kematian, Kamaruzaman berkata SPR telah menghantar pasukan bergeraknya ke balai-balai polis di seluruh negara bagi mendapatkan salinan permit mengubur.

"Sebagai contoh, pada tahun lalu, SPR telah berjaya mengeluarkan 10,064 pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia menerusi mekanisme itu.

- http://malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment