rencana Di ambang hari penamaan calon, Nurul Izzah Anwar, wakil PKR untuk parlimen Lembah Pantai, membayangkan bagaimana dirinya menjadi peribadi yang tercampak dalam arus sejarah.
Anak sulung ikon reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini berusia 27 tahun, berdepan kepayahan di saat-saat akhir bersiap untuk berkempen bagi melonjakkan semula dirinya di depan pengundi.
Sembilan tahun yang lalu, sewaktu bersiap untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Petronas di Tronoh, Perak dalam jurusan kejuruteraan, Nurul secara tidak sengaja tersedut dalam perkembangan politik panas waktu itu apabila bapanya, sebagai timbalan perdana menteri, telah disingkirkan dan bertarung dalam pergulatan kehakiman dan politik - kesannya masih terasa hingga kini.
Secara tiba-tiba seorang pelajar pra-universiti yang baru melangkahkan kaki ke dunia teori akademik tertujah ke kampus jalanan di mana seseorang itu belajar daripada turutan pengalaman.
"Susah untuk saya memahami keadaan pada waktu segalanya itu terjadi," katanya dalam satu temubual dengan Malaysiakini sebelum bergegas untuk menghadiri mesyuarat dengan penasihat-penasihat kempen beliau.
"Yang membuatkan saya nekad ialah kata-kata ayah: 'Saya telah dipersalahkan dan saya mesti berjuang untuknya'," katanya, mengingati hari-hari bergelora September 1998 apabila Anwar tersungkur daripada menjadi calon perdana menteri kepada objek tertuduh yang memalukan.
Susulan pemecatan Anwar, Nurul yang sebelum ini langsung tidak dikenali telah berubah menjadi simbol perubahan serantau dalam pergerakan untuk reformasi politik itu.
"Setahun sebelum itu, semasa berbual di majlis makan malam sewaktu beliau masih pemangku perdana menteri, beliau menasihati kami - anak-anaknya - supaya tidak tamak. Ayah akan bercakap dalam bahasa Melayu baku apabila dia sedang bersungguh-sungguh menyatakan sesuatu perkara dan mustahil untuk menyampuk dan bertanyakan sesuatu lebih perinci.
"Anda perlu fokus untuk menangkap apa yang cuba diperkatakannya dan berusaha faham apa masalahnya. Bukan masanya untuk bertanya lebih lanjut tentang latar sesuatu perkara. Dia berkerja keras dan jarang sekali bercakap hal-hal remeh tetapi dia memang bercakap perkara-perkara yang anda perlu tangkap untuk memahami seluruh perbualannya," cerita Nurul.
Nurul kemudiannya menangguhkan pengajiannya dan berkempen di dalam dan luar negara untuk meraih sokongan moral untuk bapanya. Tidak ada waktu percubaan untuk penyertaannya dalam politik; dia terjun terus ke arena tersebut.
"Ia satu ujian api dan saya terpaksa mempelajari segalanya sewaktu mengharunginya," ujarnya. "Terlalu sedikit masa untuk muhasabah dan sedikit pula masa untuk melihat jauh arah ke depan."
Beberapa tahun kemudian, setelah Anwar kalah dalam semua kes mahkamahnya dan dihumbankan ke penjara Sungai Buloh, Nurul menyambung pelajaran, menamatkannya dan menjejakkan kaki ke gerbang perkahwinan sebelum melanjutkan pendidikan di peringkat sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa di Universiti John Hopkins di Amerika Syarikat.
Dia kembali ke tanah air tahun lepas untuk menjadi salah seorang pembantu bapanya. Anwar bekerja sebagai pensyarah jemputan di Universiti Georgetown sejurus selepas pembebasannya dari penjara pada 2004, kemudiannya pulang ke tanah air untuk memimpin PKR dalam misi meneruskan agenda perubahan politik.
Nurul berpuas hati sekadar berada di belakang tabir dan menjaga bayinya yang baru dilahirkan September lepas. "Saya sebenarnya tidak berminat menjadi calon walaupun nama saya telah disebut-sebut sebagai seorang calon sejak pilihanraya 2004 lagi."
Minggu lalu, kawan-kawan bapanya, pembantu-pembantu dan penyokong-penyokong Anwar, yang hampir kesemuanya separuh abad umur mereka, memujuknya supaya bertanding di Lembah Pantai dengan menyatakan masanya sudah sampai untuk terjun dalam gelanggang politik.
"Mereka kata hari-hari saya sebagai lambang sudah tamat dan kini masanya untuk kehadiran ketara saya dalam gerakan pembaharuan politik ini."
"Di samping keinginan saya untuk bersama anak, saya rasakan desakan kuat yang sama seperti sewaktu membantu bapa saya sembilan tahun lalu. Saya rasakan bahawa saya perlu bergerak bersama arus ini dan bersedia untuk membuka satu lembaran baru hidup saya," katanya sebelum bergegas ke mesyuarat dengan pembantu-pembantunya.
Nurul mencabar penyandang Shahrizat Abdul Jalil, menteri hal-ehwal wanita dan naib ketua Wanita Umno, di kawasan berjumlah 55,989 pemilih berdaftar. Calon N Periasamy turut serta
Shahrizat menang dengan majoriti 15,288 undi pada 2004.
- http://malaysiakini.com
No comments:
Post a Comment