HAGATNA, Guam 23 Feb. - Sebuah pesawat pengebom B-2 tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas di sebuah pangkalan udara di pulau ini tetapi kedua-dua juruterbangnya sempat melantun keluar dan terselamat dalam nahas itu.
Jurucakap Pangkalan Tentera Udara Langley di Virginia, Kapten Sheila Johnston berkata, nahas tersebut adalah yang pertama membabitkan pesawat pengebom yang boleh mengelak daripada dikesan oleh radar itu.
Kepulan asap tebal kelihatan menjulang dari bangkai pesawat di Pangkalan Tentera Udara Andersen di sini, kata Jeanne Ward, seorang penduduk kampung Yigo yang mengunjungi suaminya di pangkalan itu.
Ward berkata, beliau sendiri tidak menyaksikan pesawat itu terhempas tetapi melihat kepulan asap dari belakang menara kawalan pangkalan tersebut.
Sebuah lembaga penyiasat dibentuk untuk menyiasat insiden itu kerana ia membabitkan kerugian yang besar.
Pesawat pengebom B-2 yang dibina dengan kos AS$1.2 bilion (RM3.84 bilion) setiap satu itu telah digunakan untuk misi di Afghanistan, Iraq dan Serbia.
Kesemua 21 pesawat pengebom B-2 berpangkalan di Pangkalan Tentera Udara Whiteman di Missouri tetapi tentera udara AS menempatkannya secara bergilir-gilir di Guam sejak 2004, bersama pesawat pengebom B-1 dan B-52.
Penggiliran itu bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan AS di rantau Asia Pasifik sementara tentera AS lain dikerahkan untuk menangani konflik di Asia Barat.
Pesawat B-2 mula-mula ditontonkan kepada umum pada 1988 dan melakukan penerbangan pertama pada tahun berikutnya.
Pesawat pertama diterbangkan ke Whiteman pada 1993.
Kejadian itu berlaku 11 hari selepas kapal terbang Tentera Laut AS terhempas ke laut kira-kira 30 kilometer ke timur laut Ritidian Point di sini.
Empat anak kapal melantun keluar dari pesawat EA-6B Prowler berkenaan dan diselamatkan dengan helikopter.
Guam ialah sebuah wilayah AS yang terletak 5,000 kilometer ke barat daya Hawaii.
- AP
No comments:
Post a Comment