ALOR SETAR, 23 Feb (Hrkh) - Sambil mengucapkan tahniah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil keputusan tidak berkempen untuk anaknya, Datuk Mukhriz; Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar mengingatkan para pengundi di Rembau supaya jangan memberikan undi kepada orang yang diejek sebagai ahli politik dedalu.
"Sikap Dr Mahathir lebih bermaruah berbanding sikap (Perdana Menteri, Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) yang semakin dituduh menjadikan Umno parti anak-beranaknya," kata beliau.
"Ahli Parlimen Rembau sebelum ini kelihatan keberatan untuk melepaskan kerusinya. Perkara tersebut mebangkitkan pertanyaan umum adakah Perdana Menteri 'bulldoze' pencalonan Khairy?" soal beliau.
Mahfuz menjangka, sehingga bila-bila pun Khairy akan tetap dihina dan diejek sebagai ahli politik dedalu yang bertenggek di atas kedudukan bapa mertuanya.
"Amat menghairankan apabila Khairy tidak merasa malu sedikit pun berkokok dan menunjuk lagak di sana-sini sedangkan hampir setiap hari dia dihina dan diejek sebagai ahli politik murahan yang jijik yang bertenggek di atas kedudukan bapa mertuanya," kata beliau.
Beliau mengingatkan para pengundi di Rembau supaya jangan mengundi Khairy.
Malah, katanya, mereka perlu menuntut Khairy membersihkan dirinya dari penghinaan dan ejekan sebagai ahli politik dedalu sebelum menawarkan diri untuk menjadi Ahli Parlimen.
"Orang Negeri Sembilan begitu kaya dengan pepatah-petitihnya. Jangan lupa resam dedalu. Jika hinggap ke batang, batangnya mati; hinggap ke ranting, rantingnya patah," katanya.
Mahfuz juga menyifatkan tindakan mencalonkan Khairy di Rembau itu akan menguatkan lagi tuduhan bahawa Abdullah menjadikan kerajaan yang diterajuinya sebagai kerajaan anak-beranaknya.
"Saya berharap Abdullah tidak memandang ringan ingatan Dr Mahathir. Jangan sampai seperti kata pepatah, datang bersalam, pulang berterajang," katanya
Dr Mahathir sebelum ini pernah berkata: "Mereka akan menanggung padah kerana mengubah kerajaan Malaysia menjadi sebuah kerajaan keluarga... Abdullah Ahmad Badawi".
Semalam, Dr Mahathir berkata, tidak seharusnya wujud dinasti politik di negara ini. Menurut Malaysiakini, Dr Mahathir dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri dan Khairy.
Menjawab soalan mengenai pemilihan begitu ramai anak bekas pemimpin menjadi calon pada pilihan raya umum 8 Mac ini, bekas Perdana Menteri itu berkata senario itu tidak begitu sihat untuk budaya politik negara.
"Semasa saya letak jawatan dulu setiausaha agung Umno minta supaya anak saya Mukhriz ambil alih tempat saya di Kubang Pasu, tapi saya tolak. Saya tak nak orang kata saya ini nak dirikan satu dinasti...kita tak harus ada dinasti dalam politik negara kita ini," katanya
Ketika ditanya mengenai pencalonan Mukhriz, Dr Mahathir berkata, anaknya itu mendapat restu beliau untuk bertanding pada pilihan raya 8 Mac ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa Mukhriz perlu memenangi kerusi Parlimen Jerlun menerusi hasil usaha sendiri.
Beliau yang menasihatkan anaknya untuk sentiasa bekerja keras dan serius sebagai calon, turut berkata bahawa beliau tidak akan membantu berkempen untuk Mukhriz.
"Tidak, saya tidak akan berkempen. Saya cuma berikan restu saya untuk dia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan satu seminar berhubung remaja di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini.
Ditanya kenapa beliau tidak akan berkempen untuk anaknya, Dr Mahathir berkata: "Itu pilihan saya".
Menjawab satu soalan sekiranya ada kalangan anggota keluarga yang akan membantu kempen, beliau berkata: "Saya tidak tahu. Saya tiada kata pemutus mengenainya".
Dr Mahathir juga berkata bahawa pencalonan Mukhriz diputuskan oleh kepimpinan Umno.
"Itu diputuskan oleh pucuk pimpinan. Terus-terang saya tak ada lobi tak ada apa," katanya.
Menjawab satu soalan berhubung kewibawaan anaknya, Dr Mahathir berkata perkara itu terpulang kepada keputusan pengundi.
"Saya tidak tahu. Terpulang kepada rakyat yang akan mengundi untuk menentukannya. Saya tidak boleh dengan mudah mengatakan yang anak saya seorang yang berkuasa, kuat, bijak dan macam-macam lagi," kata Dr Mahathir.
- harakah
No comments:
Post a Comment