24 February 2008

Gelora pilih calon BN Perlis berakhir status quo

KANGAR 23 Feb. – Gelora dan kontroversi pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Perlis untuk Pilihan Raya Umum Ke-12 berakhir dengan ketiga-tiga pemimpin yang terlibat mengekalkan status quo masing-masing.

Ketiga-tiga pemimpin terlibat ialah Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid.

Shahidan yang dikatakan akan digugurkan sebelum ini kekal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang.

Sementara Radzi dan Azmi yang bertelagah secara terbuka dengan Shahidan masing-masing kekal bertanding di Parlimen Kangar dan Padang Besar.

Senarai calon yang diumumkan hari ini bagaimanapun menyaksikan perubahan kawasan bagi penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Syed Razlan Syed Putra Jamalullail yang berpindah ke DUN Pauh.

Pengumuman oleh Shahidan hari ini melenyapkan kontroversi yang timbul sejak beberapa hari lalu bermula dari tarikh bagi memuktamadkan senarai calon semua negeri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Isnin lalu sehingga menjelang hari penamaan calon yang ditetapkan esok.

Semalam, Shahidan telah mengumumkan kekal bertanding di DUN Tambun Tulang yang disandangnya sejak 1995, sekali gus bakal terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Perlis.

Sebelum ini, pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Perlis tertangguh beberapa kali disebabkan belum dapat memuktamadkan senarai penuh calon daripada Perdana Menteri.

Tempat Syed Razlan digantikan dengan muka baru Senator Datuk Ismail Kassim yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Arau dan adik Shahidan.

Radzi dan Azmi serta beberapa calon yang diumumkan oleh Shahidan hari ini bagaimanapun tidak hadir pada majlis pengumuman berkenaan kecuali Syed Razlan.

Senarai calon BN Perlis kali ini juga menyaksikan lapan muka baru diketengahkan di peringkat DUN selain Ismail di Parlimen dan lapan orang penyandang kerusi DUN sebelum ini pula digugurkan termasuk Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Shahidan pada sidang akhbar selepas pengumuman itu berkata, senarai calon itu adalah barisan yang diyakini mampu memberi kemenangan besar kepada BN pada pilihan raya kali ini.

‘‘Senarai ini dibarisi banyak muka baru iaitu pelapis kepada kepimpinan negeri di masa akan datang,’’ katanya.

Ditanya kenapa Perlis mengambil masa yang lama untuk mengumumkan senarai calon, Shahidan berkata: “Kadang-kadang benda besar dibuat dengan cepat, benda yang kecil lambat, itulah ceritanya.’’

Beliau menambah, sebagai negeri yang kecil, Perlis tentulah yang terakhir dipanggil oleh pucuk pimpinan untuk memuktamadkan senarai calon.

‘‘Memang Perlis yang penghabisan dipanggil (oleh Perdana Menteri) sebab kami duduk jauh, jadi pucuk pimpinan bagi peluang kepada kami sebagai yang penghabisan.

‘‘Tetapi oleh kerana tidak berapa habis (untuk memuktamadkan senarai calon), maka Pahang habis dulu dan selepas itu barulah Perlis (dipanggil) kelmarin.

‘‘Perlis sebenarnya yang kedua terakhir dipanggil kerana hanya ada tiga bahagian sahaja,’’ katanya.

Ditanya mengapa tidak ada sebarang wakil dari Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO dalam senarai yang diumumkan itu, Shahidan berkata: “Wanita, Pemuda dan Puteri telah menyatakan sokongan kuat kepada barisan calon yang dibuat ini. Mereka telah menyatakan kompromi yang tinggi.

- Utusan

No comments:

Post a Comment