KUALA TERENGGANU, 24 Feb (Hrkh) - PAS Terengganu kemungkinan akan mengambil tindakan menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana membuat peraturan yang menyusahkan mereka yang mahu menjadi calon dalam pilihan raya umum kali ini.
Timbalan Pesuruhjayanya, Dato' Wan Abdul Mutalib Embong, berkata pihaknya akan menyaman SPR yang mengeluarkan surat peraturan mengarahkan mereka yang mahu bertanding dalam pilihan raya kali ini, menyerahkan borang mereka dengan dikenakan duti setem
Beliau yang berkata demikian ketika ditemui selepas penamaan calon di Wisma Darul Iman di sini, tengahari tadi, menyifatkan SPR ada niat buruk terhadap pembangkang.
"Sebaliknya apabila berlaku insiden di Marang di mana kesemua lima calon Barisan Nasional (BN) mengemukakan borang tidak berduti setem, dan apabila bantahan dibuat, tiba-tiba SPR mengeluarkan surat yang didakwa bertarikh 23 Februari memansuhkan surat arahan itu yang dikeluarkan pada 21 Februari," ujarnya.
Surat arahan pertama turut menyatakan mereka yang tidak berbuat demikian boleh dibatalkan menyertai pertandingan pilihan raya umum kali ini.
"Kita telah mengemukakan bantahan tersebut ke atas lima calon BN di Marang, bagaimanapun ditolak oleh SPR dengan mengemukakan alasan baru iaitu surat bertarikh 23 Februari, memansuhkan surat arahan 21 Februari.
Bagaimana ini boleh berlaku? Kita tahu di Kuala Lumpur cuti hujung minggu," ujarnya.
Kelima calon tersebut iaitu Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Dato' Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir bagi kerusi Parlimen Marang, Ketua Pemuda Umno Bahagian Marang, Razali Idris, bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang, Alias Abdullah di Dun Alur Limbat, Zaidi Muda di Dun Bukit Payung dan di Dun Pengkalan Berangan, Yahya Khatib Mohamad.
Sebelum itu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengecam SPR yang menarik kembali arahan supaya semua calon pilihan raya mengenakan duti setem pada borang percalonan.
Arahan tersebut yang didakwanya cuba memerangkap calon pembangkang sebaliknya 'menikam' BN sendiri.
Ia memang cukup menyusahkan kerana surat itu dimaklumkan pada hari Khamis tetapi pembangkang dikatakan tetap berusaha mematuhinya sehingga terdapat mereka yang mahu menjadi calon terpaksa terbang ke Kuala Lumpur berikutan Terengganu cuti umum pada Jumaat dan Sabtu.
Seperti yang dialami calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa di Parlimen Kemaman, beliau terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur dengan kapal terbang pada hari Jumaat apabila mendapat maklumat pada pagi hari tersebut.
Namun begitu berlaku kepada lima calon BN di Marang mengemukakan borang tanpa duti setem. Apabila PAS mengemukakan bantahan sebaliknya mereka mendapat pembelaan SPR.
Dalam surat SPR yang ditandatangani Setiausahanya, Dato' Kamaruzzaman Mohd Nor menyatakan, "Pegawai Pengurus boleh menolak Kertas Penamaan Calon jika sekiranya Akuan Berkanun (Borang 5 atau 5A) yang dikemukakan bersama kertas penamaan tersebut tidak mematuhi peruntukan di bawah peraturan 4 (7) Peraturan-Peraturan Pilihan raya (Perjalanan Pilihan raya) 1981."
Menurut Ustaz Hadi, PAS kesal kerana penarikan balik arahan tersebut tidak dimaklumkan kepada parti-parti pembangkang.
"Kita hanya dengar pegawai berbisik sesama sendiri mengatakan arahan tersebut hanya diterima subuh tadi," katanya.
Tegasnya, setelah didesak beberapa kali, barulah pegawai menunjukkan surat pembatalan arahan tersebut.
- HarakahDaily
No comments:
Post a Comment