PETALING JAYA: Geng samun kenderaan mewah yang menggunakan wanita sebagai ‘umpan’ untuk memperdaya pemandu lelaki di sekitar Selangor dan Lembah Klang tumpas, diberkas polis.
Kumpulan terbabit yang dianggotai lebih 10 lelaki dan seorang wanita yang semuanya berusia lingkungan awal 20-an itu dipercayai mengumpan mangsa dengan ‘godaan’ wanita berkenaan sebelum menyamun kenderaan mangsa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner (II) Mazlan Mansor, berkata enam ahli kumpulan penyamun terbabit yang berusia lewat 20-an itu kini ditahan polis bagaimanapun, selebihnya akan diberkas dalam masa terdekat.
“Selain menggunakan umpan wanita, kumpulan terbabit menggunakan taktik melanggar kenderaan mangsa dari belakang sebelum menggunakan kekerasan dengan menggunakan parang dan kapak untuk menyamun kereta mangsa.
“Ahli kumpulan terbabit yang rata-rata memakai topi besbol bagaimanapun hanya memilih kenderaan ‘high profile’ (jenis mewah) dan mangsa yang berusia awal 20-an,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, semalam.
Mazlan berkata, wanita yang digunakan sebagai umpan itu belum ditahan namun lokasi dan tempat persembunyian mereka sudah dikenal pasti.
“Semua suspek dinasihatkan menyerah diri atau kami akan tetap menahan mereka.
“Dengan tertangkapnya enam lelaki ahli kumpulan itu, kami merampas enam kereta mewah yang dipercayai disamun bernilai lebih RM600,000.
“Mulanya kami menahan tiga daripadanya pada 16 Februari lalu di sekitar Petaling Jaya yang membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis BMW dengan nombor pendaftaran WGP 3811 yang dilaporkan hilang hari sama dan Proton Wira Aeroback,” katanya.
Katanya, berdasarkan tangkapan itu, pihaknya turut merampas empat telefon bimbit dan tiga kunci kereta.
“Bagaimanapun, ahli kumpulan terbabit yang belum ditahan masih tidak serik dan menyamun di sekitar Kota Damansara di sini, pada 19 februari lalu sebelum tiga lagi ditahan,” katanya.
Mazlan berkata, berdasarkan tangkapan kedua itu, polis merampas empat kenderaan curi jenis Honda namun satu daripadanya adalah jenis Proton Wira Aeroback dipercayai kepunyaan suspek.
“Kami turut merampas senjata yang digunakan suspek untuk menyamun iaitu dua bilah parang, satu kapak, lima telefon bimbit dan satu pasport warga negara asing,” katanya yang turut mengatakan dengan tertangkapnya enam lelaki terbabit, 25 kes membabitkan kes samun dapat diselesaikan.
Katanya, semua suspek didapati menganggur dan menjadikan pekerjaan menyamun kereta mewah sebagai ‘profesion’ tetap.
“Mereka kini direman dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan ahli kumpulan yang bertopi ini diminta tampil di mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.
“Kami juga masih menjalankan siasatan sama ada kenderaan curi terbabit mungkin diseludup ke negara luar atau sebaliknya,” katanya.
- http://www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment