27 February 2008

Tiada kaitan pilihan raya umum

PETALING JAYA: Penemuan mayat lelaki dalam keadaan sujud di bahagian bagasi di bawah badan bas persiaran yang dinaiki 40 ahli Puteri Umno pada hari penamaan calon di Kajang, kelmarin tiada kaitan dengan proses pilihan raya umum yang sedang berlangsung.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Mansor, berkata mayat berkenaan dipercayai diletak dalam bas itu secara kebetulan kerana bahagian bagasi bas itu tidak berkunci.

“Siasatan mendapati kes itu tiada kena-mengena dengan pilihan raya umum, ia terjadi secara kebetulan kerana dinaiki ahli Puteri Umno ketika itu.

“Ia juga berikutan bahagian bagasi bas yang tidak dikunci dan dibiarkan lebih enam jam membolehkan sesiapa saja meletakkan mayat di situ,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mazlan berkata, setakat ini identiti mayat berkenaan masih belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri pada mangsa.

“Bedah siasat terhadap mangsa dijalankan pagi semalam dan kami menunggu laporan untuk mengetahui punca kematian,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan kira-kira 40 ahli Puteri Umno di sini tidak menyangka bas persiaran yang mereka tumpangi turut membawa mayat seorang lelaki dalam keadaan sujud, kelmarin.

Mayat lelaki berusia 40-an itu ditemui selepas semua anggota Puteri Umno yang dibawa dari Semenyih turun dari bas itu berhampiran pusat penamaan calon di sini, kira-kira jam 6 pagi.

Pada mulanya, pemandu terbabit terhidu bau busuk dalam bas itu namun tidak mengendahkan hal itu kerana perlu bergegas mengambil penumpang.

Bagaimanapun, dia yang tidak tahan dengan bau berkenaan kemudian memberhentikan kenderaan awam itu di satu tempat lalu membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat lelaki terbabit dalam beg kembara yang diletakkan di bahagian bagasi di bawah badan bas berkenaan.

- http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment