27 February 2008

Si mati tiada kaitan ‘orang dalam’ bank

PETALING JAYA: Tiga penjenayah warga asing tidak sempat menikmati wang tunai RM10,000 yang disamun daripada pelanggan sebuah bank apabila mati ditembak sepasukan polis di Taman Mayang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, penjenayah terbabit dikatakan cuba menyerang polis yang menahan kereta mereka untuk pemeriksaan menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Tiga penjenayah berusia antara 30-an dan 50-an itu mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis yang mendapat maklumat mengenai kes samun pelanggan bank mengesan sebuah Proton Waja yang disyaki dinaiki suspek.

“Polis kemudian mengekori suspek sejauh kira-kira tiga kilometer sebelum menahannya di tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

“Sebaik menahan kenderaan dinaiki suspek, polis turun lalu memperkenalkan diri,” katanya, semalam.

Beliau berkata, suspek cuba menyerang dengan senjata tajam menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan.

Menurutnya, siasatan polis dalam kereta Proton Waja berwarna emas yang dinaiki suspek menemui empat bilah parang, topeng muka, vest polis, barang kemas dan wang tunai RM10,000.

Harian Metro difahamkan, wang tunai itu milik seorang pelanggan bank yang disamun kumpulan berkenaan.

“Siasatan terhadap kereta suspek mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai dicuri.

“Polis percaya suspek terbabit dengan kira-kira 30 kes samun pelanggan bank yang baru mengeluarkan wang dalam jumlah banyak,” katanya.

Khalid berkata, kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan terbabit sejak setahun lalu dan mereka tidak ada kaitan dengan ‘orang dalam’ bank.

- http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment