17 January 2008

Turun harga roti canai selepas diserbu

JOHOR BAHRU 16 Jan. – Sebuah restoran di Taman Pelangi di sini yang didapati menaikkan harga roti canai sehingga RM1 sekeping hari ini terpaksa menurunkan harga makanan itu kepada 80 sen sekeping selepas diserbu oleh pihak berkuasa.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari itu ekoran laporan Utusan Malaysia, restoran terbabit bersetuju serta-merta untuk menurunkan harga makanan tersebut.

Pemiliknya merayu pihak penguat kuasa perdagangan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap restoran itu.

Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Fahmi Kasim berkata, pihaknya tidak mengenakan denda ke atas pemilik restoran itu tetapi memberi amaran keras terhadapnya supaya tidak sesuka hati menaikkan harga makanan.

“Kita telah menyoal siasat pekerja-pekerja dan pemilik restoran itu serta mendapatkan dokumen serta resit pembelian bahan asas yang digunakan oleh peniaga terbabit.

“Selepas disiasat, pemilik restoran itu mengakui harga roti canai yang dijualnya adalah mahal. Selepas berbincang, akhirnya restoran itu bersetuju menurunkan harga roti canai dari RM1 kepada 80 sen,” katanya kepada pemberita di sini.

Utusan Malaysia hari ini mendedahkan tindakan sebuah restoran di Taman Pelangi menjual roti canai pada harga RM1 sekeping berbanding 70 sen sebelum ini atas alasan kekurangan bekalan tepung di pasaran.

Pemilik restoran itu turut menaikkan harga roti telur kepada RM1.50 sekeping berbanding RM1.30 sebelum ini.

Fahmi berkata, berikutan berita yang disiarkan Utusan Malaysia itu, pihaknya menerima panggilan daripada KPDNHEP di Putrajaya yang mengarahkan siasatan segera dilakukan ke atas restoran berkenaan.

Menurutnya, siasatan juga mendapati jualan roti canai pada harga 80 sen sekeping adalah munasabah untuk menyelesaikan masalah harga bekalan minyak dan tepung yang dihadapi oleh pemilik restoran itu.

Masalah yang dihadapi oleh pemilik restoran itu, kata Fahmi, berpunca daripada tindakan pengusahanya membeli tepung gandum dan minyak daripada pembekal pada harga lebih mahal.

Beliau berkata, pemilik restoran itu melakukan kesilapan apabila membeli bahan-bahan itu dalam kuantiti yang besar dan memilih tepung dan minyak dalam saiz peket yang tidak disubsidikan.

- Utusan

No comments:

Post a Comment