KUALA LUMPUR 16 Jan. – Surat-surat rasmi antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah berhubung rundingan pelantikan Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan hakim-hakim Mahkamah Tinggi didedahkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bersidang di sini hari ini.
Sebanyak 30 dokumen termasuk memorandum kepada Majlis Raja-Raja dan Pengelola Istana Negara yang bertarikh antara 2 Julai 2001 dan 30 Jun 2002 dikemukakan sebagai bahan bukti serta dicamkan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Samsudin Osman.
Surat-surat tersebut yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia telah dikelaskan semula sebelum salinannya diserahkan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja.
Samsudin, 60, yang memberi keterangan sebagai saksi keenam pada hari ketiga prosiding suruhanjaya itu juga mengesahkan semua dokumen tersebut pernah dikendalikan, disedia dan ditandatangani semasa beliau memegang jawatan KSN antara 1 Februari 2001 dan 2 September 2006.
Antara dokumen rasmi yang dikemukakan oleh pegawai pengendali suruhanjaya, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan ialah surat cadangan pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim sebagai Hakim Besar Malaya bertarikh 2 Julai 2002 daripada Mohamed Dzaiddin kepada Dr. Mahathir.
Dalam surat itu, antara lain Mohamed Dzaiddin memohon persetujuan Dr. Mahathir supaya Ahmad Fairuz dilantik sebagai Hakim Besar Malaya.
Bekas Ketua Hakim Negara itu menulis kepada Dr. Mahathir: “Saya berpenuh keyakinan Datuk Ahmad Fairuz dapat bekerjasama dan bersefahaman dengan saya kerana kami datang dari sama sekolah.”
Surat bertarikh 19 Ogos 2002 pula berupa cadangan pelantikan Ahmad Fairuz sebagai Presiden Mahkamah Rayuan oleh Mohamed Dzaiddin kepada bekas Perdana Menteri itu.
Turut dikemukakan ialah surat cadangan pelantikan lima hakim Mahkamah Tinggi pada 5 Disember 2001 yang menyenaraikan lima calon iaitu tiga Pesuruhjaya Kehakiman iaitu Datuk Heliliah Mohd. Yusof, Datuk Ramly Ali dan Datuk Ahmad Maarop serta dua peguam iaitu Dr. Andrew Chew dan Zainuddin Ismail.
Ditanya oleh peguam Razlan Hadri yang mewakili Badan Peguam Malaysia, Samsudin menjelaskan kepentingan surat rasmi tersebut dengan berkata, “Surat itu tidak didedahkan walaupun kepada Menteri dan Timbalan Menteri.”
Selain dokumen rundingan antara Dr. Mahathir dan Mohamed Dzaiddin, surat cadangan pelantikan Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara yang ditulis kepada Perdana Menteri ketika itu dan ditandatangani oleh Samsudin sendiri juga didedahkan dalam surat bertarikh 29 Januari 2003.
‘‘Memang dicadangkan. Itu yang biasa kita buat. Perdana Menteri (Dr. Mahathir) dah beritahu saya dia nak lantik Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara.
‘‘Oleh kerana dia beritahu secara lisan, saya perlu dapat pengesahan secara bertulis dan cadangan itu saya tulis,’’ jelasnya kepada anggota-anggota suruhanjaya itu ketika ditanya mengenai kandungan surat tersebut.
Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor bersidang pada hari ketiga di bilik Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini bagi menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video perbualan telefon seorang yang dipercayai peguam Datuk V.K. Lingam sedang mengatur pelantikan hakim-hakim.
Selain surat kepada Mohamed Dzaiddin, memorandum Samsudin kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dan Pengelola Istana Negara untuk mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong bagi pelantikan hakim-hakim turut dijadikan bahan bukti dan diserahkan kepada suruhanjaya itu.
Ditanya oleh peguam M. Puravelan yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada beliau pernah bercakap secara terus dengan Mohamad Dzaiddin tentang urusan pelantikan hakim-hakim itu, Samsudin berkata, surat adalah satu-satunya kaedah perhubungan yang digunakan.
Pangkat
‘‘Saya tidak pernah berkomunikasi secara terus dengan Tun Dzaiddin. Kami tidak pernah bercakap melalui telefon tentang pelantikan hakim-hakim atau kenaikan pangkat mereka.
‘‘Saya juga tidak pernah bercakap dengan beliau tentang cadangan pelantikan Tan Sri Abdul Malek Ahmad (Allahyarham) sebagai Hakim Besar Malaya,’’ jelas beliau.
Samsudin yang kini merupakan Presiden Perbadanan Putrajaya turut mengesahkan bahawa Dr. Mahathir juga tidak pernah berunding dengan Mohamed Dzaiddin secara lisan.
Katanya, semua urusan yang membabitkan cadangan pelantikan hakim, jawapan kepada cadangan serta cadangan semula sekiranya ada dilakukan melalui surat-menyurat.
Dalam keterangannya hari ini, Samsudin turut mengesahkan bahawa pelantikan Ahmad Fairuz sebagai Hakim Besar Malaya pada 2001 dan Presiden Mahkamah Rayuan pada 2002 dibuat mengikut Perlembagaan serta tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk peguam Lingam.
Merujuk kepada pelantikan Ahmad Fairuz ke jawatan itu, Samsudin menegaskan, pelantikan hakim-hakim pada tahun 2001 dan 2002 juga tidak pernah disokong oleh ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Sebaliknya, kata Samsudin, pencalonan Ahmad Fairuz bagi kedua-dua jawatan itu dibuat oleh Mohamed Dzaiddin sendiri.
‘‘Sepanjang pengetahuan saya, tiada senarai lain yang dikemukakan oleh pihak lain bagi setiap pelantikan sama ada untuk jawatan Hakim Besar Malaya, Presiden Mahkamah Persekutuan dan hakim-hakim Mahkamah Tinggi.
‘‘Senarai calon-calon itu hanya dibuat oleh Ketua Hakim Negara dan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan,’’ katanya.
Beliau yang memberitahu tidak pernah mengenali Lingam bagaimanapun mengaku mengenali Vincent Tan secara rasmi kerana sering berjumpa dengan ahli perniagaan itu semasa beliau memegang jawatan KSN.
Tengku Adnan pula, kata Samsudin, dikenalinya kerana beliau pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selain memegang jawatan Ahli Parlimen Putrajaya serta jawatannya sebagai Menteri Pelancongan sekarang.
Sepanjang memberi keterangan, Samsudin yang memakai kot kelabu gelap dilihat tenang serta kedengaran membaca Bismillah sebelum mengangkat sumpah.
Sementara itu, keadaan mahkamah tempat suruhanjaya itu bersidang agak sesak pada waktu pagi. Orang ramai beratur panjang untuk mengikuti prosiding lebih-lebih lagi kerana mendapat maklumat Dr. Mahathir dijadualkan memberi keterangan hari ini.
Pihak media yang cuba masuk dengan menggunakan pas awam turut dihalang daripada memasuki bilik mahkamah bagi membolehkan lebih ramai orang awam mendapat tempat.
Persidangan Suruhanjaya Siasatan Diraja itu hanya berhenti rehat pada pukul 1.30 tengah hari menyebabkan semua yang hadir terpaksa bergegas untuk makan tengah hari sebelum masuk semula bagi mengikuti prosiding sebelah petang yang disambung mulai pukul 2.30 petang.
Prosiding bersambung esok.
- Utusan
No comments:
Post a Comment