ALOR STAR 16 Jan. – Seorang gadis yang menjadi mangsa ragut bertindak nekad membelasah lelaki yang cuba melarikan beg tangannya dalam satu kejadian di Kilometer 15, Jalan Putra di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika mangsa, Siti Naquiah Kamaruddin, 20, menunggang motosikal Yamaha Ego bersama ibunya, Aishah Adam, 47, dalam perjalanan dari Alor Star ke Padang Besar, Perlis.
Peragut terbabit yang menunggang motosikal Yamaha LC mengekori mangsa dari belakang dan dia dikatakan cuba meragut beg tangan milik Siti Naquiah yang disangkut pada cermin sisi sebelah kanan motosikalnya.
Siti Naquiah yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berkata, semasa peragut berbadan gempal itu menarik beg tangannya, kedua-dua motosikal mereka hilang kawalan dan terbabas di tepi jalan.
‘‘Tanpa berlengah saya terus bangun dan melompat ke atas peragut itu dan memijak muka serta badannya.
‘‘Saya memukulnya sehingga orang ramai datang membantu menangkap lelaki itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, peragut berkenaan kemudian dibawa oleh orang ramai ke Balai Polis Ayer Hitam dekat sini untuk diserahkan kepada polis.
Siti Naquiah yang pernah mempelajari seni mempertahankan diri di sekolah memberitahu, peragut itu tidak melawan ketika dipukul tetapi ketika dia cuba melarikan diri lelaki berkenaan diberkas oleh orang ramai.
Gadis itu hanya cedera di tangan kanan manakala ibunya luka di lutut kanan akibat terjatuh dari motosikal.
Semasa kejadian, beg tangan mangsa mengandungi dua buah telefon bimbit jenis Nokia N70 dan Motorola V171, wang tunai RM7 serta dokumen peribadi.
- Utusan
No comments:
Post a Comment