11 January 2008

Tubuh pasukan pencari

PETALING JAYA 10 Jan. – Orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) diminta menubuhkan pasukan mencari bagi membantu mengesan kanak-kanak mangsa culik, Sharlinie Mohd. Nashar, 5, yang dilaporkan hilang semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan, bantuan dari semua lapisan masyarakat amat perlu bagi menjejaki Sharlinie sebelum apa-apa yang buruk berlaku kepada kanak-kanak tersebut.

Tambah beliau, stesen televisyen dan radio pula telah diminta menyiarkan fotofit suspek penculik kanak-kanak serta gambar Sharlinie setiap setengah jam dengan Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) telah memberi persetujuan untuk melakukan perkara itu.

‘‘Kerjasama daripada masyarakat, NGO dan JKKK serta penyiaran fotofit suspek penculik serta gambar Sharlinie oleh stesen televisyen ini akan memberi kejayaan yang lebih besar dalam usaha mencari kanak-kanak itu dalam tempoh 12 jam ini.

‘‘Kita perlu menemui kanak-kanak ini sebelum sesuatu yang buruk berlaku kepada mangsa serta dapat menangkap penjenayah yang melakukan perkara ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Shahrizat sebelum itu mengadakan mesyuarat dengan Musa dan pegawai-pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya mengenai dua kes penculikan yang berlaku dalam tempoh kurang daripada 48 jam mulai Isnin lalu.

Dalam kejadian Isnin itu, Nur Fateha Zaidi, 6, diculik di Flat Seri Manja, Desa Sepakat, Kampung Medan selepas dikatakan diumpan oleh seorang lelaki bermotosikal untuk melihat kucing dan burung.

Sementara itu, Sharlinie diculik ketika bermain bersama-sama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di No. 29 Jalan PJS2C/11N, Taman Medan, Petaling Jaya pada pukul 11.30 pagi semalam.

Shahrizat menegaskan, masyarakat perlu membantu polis mencari Sharlinie kerana yang pertama adalah hendak menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut.

Menurut beliau, yang kedua pula ialah untuk memberi mesej kepada sesiapa sahaja, bahawa tindakan ganas atau jenayah seperti ini tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya di negara ini.

‘‘Rakyat Malaysia tidak harus membiarkan perkara ini dan perlu belajar dari kes Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dibunuh kejam tahun lalu tidak berlaku dan tidak boleh membuang masa mengesan mangsa.

‘‘Rakyat Malaysia perlu bersama-sama menjejaki penjenayah ini dan mengesan di mana kanak-kanak tersebut,’’ katanya.

Shahrizat berkata, operasi besar-besaran untuk memburu penjenayah itu telah dilancarkan serta-merta bukan sahaja di Lembah Klang malah di seluruh negara.

- Utusan

No comments:

Post a Comment