11 January 2008

Utamakan perpaduan – Seri Paduka

PUTRAJAYA 10 Jan. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu rakyat Malaysia mengutamakan perpaduan dan persefahaman serta menjauhi segala perkara yang boleh mewujudkan suasana tegang.

Seri Paduka bertitah, rakyat juga perlu sentiasa bertolak ansur, bekerjasama, berbaik sangka dan berusaha memastikan keamanan dan kedamaian negara sentiasa terpelihara.

‘‘Pada masa yang sama, hendaklah dijauhi daripada wujudnya suasana yang tegang, tidak menghormati sesama sendiri dan tidak melakukan perkara sensitif atau tidak mematuhi undang-undang,” titah Seri Paduka pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1429H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Sambutan Maal Hijrah tahun ini bertema Menjana Ummah Gemilang dipilih bagi mendorong umat Islam negara ini menjana kecemerlangan diri bagi mengembalikan semula kegemilangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md Zin dan menteri-menteri Kabinet.

Tuanku Mizan mahu negara ini sentiasa bebas daripada anasir yang boleh menggugat ketenteraman, keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan negara.

Seri Paduka turut menyarankan supaya umat Islam bergerak seiring dengan aliran arus perdana kegemilangan negara yang kian berkembang maju.

“Mereka hendaklah mensyukuri dengan cara, tindakan dan perlakuan yang diredai Allah s.w.t,” titah Seri Paduka.

Menurut Seri Paduka, rakyat perlu mengambil iktibar daripada peristiwa hijrah iaitu mengajak umat Islam melakukan tindakan positif bagi memperbaiki tahap pencapaian mereka dari semasa ke semasa.

“Malah umat Islam juga perlu mengetahui tahap pencapaian mereka setiap masa selaras dengan tema tahun ini iaitu Menjana Ummah Gemilang,” titah Seri Paduka.

Sementara itu tokoh korporat dan Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1429H.

Syed Mokhtar, 56, menerima hadiah wang tunai RM60,000 yang disumbangkan oleh kerajaan manakala RM20,000 lagi oleh Yayasan Ubaidi.

- Utusan

No comments:

Post a Comment