17 January 2008

Tengku Adnan hentam Lingam, dakwa peguam itu mabuk

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Hrkh) - Menteri Pelancongan Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor menafikan keterlibatan dalam mengatur pelantikan hakim-hakim seperti yang terkandung dalam perbualan antara peguam, VK Lingam dengan seorang hakim kanan persekutuan pada tahun 2001.

Bagaimanapun Tengku Adnan yang memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan DiRaja di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi menyifatkan bahawa ketika perbualan dalam klip video itu, kata-kata lingam itu adalah 'kata-kata lelaki mabuk'.

Justeru beliau yang menjadi saksi ke-10 pada prosiding hari keempat Suruhanjaya Siasatan Diraja hari ini berkata, beliau tidak ambil peduli dakwaan yang dibuat walaupun kata-kata itu mencemar nama baiknya.

Siasatan dilakukan di hadapan lima pesuruhjaya antaranya, Tan Sri Haidar Mohamad Noor; Prof Emeritus Khoo Kay Kim; Zaiton Zawiyah Puteh, Dato' Mahadev Shankar dan Tan Sri Steve Shim."Saya tidak ingat' - Mahathir

Beliau juga berkata tidak tahu menahu mengapa namanya disebut Lingam dalam perbualan pita yang dirakam secara rahsia pada tahun 2001.

"Disebabkan itu saya tidak menghubungi Lingam bagi mendapatkan penjelasan dan membersihkan namanya," katanya.

Nama Tengku Adnan disebut dalam perbualan melalui antara antara Lingam dengan seorang bekas hakim kanan yang didakwa sebagai Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Terdahulu pagi tadi, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dipanggil memberi keterangan sebagai saksi kesembilan, dan dalam pengakuannya Mahathir mengakui mengenali Lingam.

Beliau juga dihadapkan dengan pelbagai soalan yang menjurus kepada kaitan antara Lingam, Tan Sri Vincent Tan dan Tengku Adnan yang ketika itu menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang).

Beliau mengaku ada menerima pandangan mengenai pelantikan hakim-hakim daripada pihak-pihak tertentu termasuk dari kalangan sosialnya, namun konsisten dengan jawapan bahawa beliau membuat sendiri keputusan akhir.

Beliau juga ditanya mengenai sebarang kemungkinan ada pihak yang ada 'akses' untuk melihat surat-surat rahsia mengenai pelantikan hakim-hakim.

Mahathir hanya menyatakan ada pihak termasuk jurutaip, pegawai yang berkenaan dan menteri yang ada kena-mengena dengan urusan itu sahaja yang mungkin boleh melihat.

Prosiding ke atas Mahathir berakhir pada jam 11.25 pagi tadi selepas beberapa peguam termasuk Timbalan Pendakwaraya, Nordin Hassan mengemukakan soalan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Semalam Suruhanjaya Diraja yang menyiasat skandal kehakiman 'Pita Lingam' diberitahu mengenai pertukaran surat antara bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan dengan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 2001.

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, telah diminta memberi keterangan saksi untuk menyahihkan surat-surat tersebut di hadapan lima pesuruhjaya siasatan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Dalam satu surat bertarikh 2 Oktober 2001, Mohamed Dzaiddin telah mengemukakan lima calon untuk menjadi Hakim Mahkamah Tinggi kepada bekas Perdana Menteri.

Suruhanjaya Siasatan DiRaja yang bersidang bagi hari yang keempat hari ini menghentikan prosiding selepas Mahatahir tamat memberi keterangan pagi tadi.

- HarakahDaily

No comments:

Post a Comment