17 January 2008

Perhimpunan Bersih: PM Minta Mereka Mohon Permit Daripada Polis

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata keputusan sama ada untuk membenarkan atau tidak sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan perhimpunan di sebuah stadium bulan depan hanya boleh dibuat oleh polis.

Perdana Menteri berkata polis yang bertanggungjawab mengeluarkan permit untuk sebarang perhimpunan di negara ini adalah lebih arif berkenaan perkara seperti itu.

"Biarlah dia orang (NGO) buat permohonan kepada pihak polis. Pihak polis tahulah apa nak jawab," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat sulung Majlis Tertinggi Umno untuk tahun ini, di sini hari ini.

Abdullah yang juga Presiden Umno sebelum itu diminta mengulas hasrat sekumpulan NGO yang dikenali sebagai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk mengadakan perhimpunan kedua di sebuah stadium pada 23 Feb depan.

Ditanya mengenai pandangan peribadinya terhadap hasrat kumpulan itu, Perdana Menteri berkata: "Depa (mereka) selalu nak buat macam-macam...tak ada apa pandangan lagi dah."

Pada 10 Nov lalu, kumpulan itu mengadakan perhimpunan haram di Dataran Merdeka di sini, atas alasan mahu menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, yang antara lain mengandungi bantahan terhadap proses pilihan raya di negara ini yang didakwa mereka sebagai tidak adil dan telus.

Sehari sebelum itu, Abdullah semasa menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno meminta rakyat agar menolak demonstrasi jalanan yang cuba dianjurkan kumpulan itu kerana ia melanggar undang-undang negara.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment