20 January 2008

Buka baju: 8TV sekat royalti Faizal

SHAH ALAM 19 Jan. – Pengurusan stesen 8TV mengambil keputusan menyekat hasil royalti penjualan album dan pertunjukan pentas penyanyi Faizal Tahir yang mencetuskan kontroversi aksi buka bajunya pada konsert stesen televisyen berkenaan, Ahad lepas.

Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar berkata, segala pendapatan yang diterima oleh Faizal menerusi syarikat rakaman yang dinaunginya, Monkey Bone Records Sdn. Bhd., serta syarikat pengurusan kerjaya seninya, 8 Unit akan disekat untuk tempoh masa yang akan ditetapkan.

“Tindakan tegas yang diambil oleh 8TV itu sebagai pengajaran terhadap penyanyi itu di samping membuktikan kami memandang serius kesilapan yang dilakukan oleh Faizal,” kata Izham kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Faizal, naib juara program realiti One In A Million (OIAM) musim pertama mencetus kontroversi apabila menyanyi sambil membuka baju pada siaran langsung ‘Rockin Birthday Concert’ sempena ulang tahun keempat 8TV pada 13 Januari lalu.

Akibat tindakan itu, 8TV dikenakan tindakan digantung daripada menerbitkan program siaran langsung berbentuk hiburan selama tiga bulan bermula 15 Januari lalu oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Tiga rancangan hiburan 8TV yang digantung dari bersiaran secara langsung sepanjang tempoh itu ialah One In A Million 2, American Idol 7 dan Project Superstar .

Selain 8TV yang dikenakan hukuman itu, Faizal juga digantung daripada muncul dalam sebarang program siaran langsung berbentuk hiburan di stesen televisyen itu selama tiga bulan bermula tarikh yang sama.

- Utusan

No comments:

Post a Comment