07 January 2008

Tambang bas sekolah naik 20%

KUALA LUMPUR 6 Jan. – Belum pun selesai masalah bayaran yuran tambahan sekolah, ibu bapa di Lembah Klang kini menghadapi kenaikan tambang bas sekolah sehingga 20 peratus berbanding kadar tambang tahun lepas.

Tinjauan Utusan Malaysia di Petaling Jaya mendapati bagi perjalanan tiga kilometer (km), kadar tambang sehala meningkat daripada RM50 kepada RM60.

Di Bangi, tambang bas dilaporkan melonjak sebanyak RM5 untuk perjalanan sehala. Jika dahulu ibu bapa membayar RM25 untuk perjalanan sehala sejauh satu setengah kilometer, kini tambangnya naik kepada RM30.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia, Chee Ah Tey mengakui sesetengah ahli persatuan itu menaikkan kadar tambang bas sekolah kerana khuatir harga diesel meningkat dan bas sekolah yang berusia melebihi 12 tahun tidak dibenarkan disewa.

Menurut beliau, gejala itu berlaku di Lembah Klang sekarang dan beliau bimbang ia akan merebak ke seluruh negara menjelang Februari dan Mac ini.

‘‘Pihak persatuan memang tidak bersetuju dan menasihati ahli agar jangan menaikkan tambang.

“Pertamanya, kerajaan belum mengumumkan sebarang kenaikan harga diesel.

‘‘Keduanya, pihak persatuan menerusi bantuan Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee bercadang mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan isu sewa bas sekolah itu,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas punca kenaikan tambang, beliau menjelaskan, para pemandu bas sekolah tidak dapat mencari pendapatan tambahan melalui aktiviti sewa kerana kebanyakan bas milik mereka telah berusia lebih 15 tahun.

‘‘Mereka tidak berupaya menampung kos operasi dengan hanya bergantung kepada tambang bas. Lebih-lebih lagi sekarang wujud spekulasi kencang mengatakan harga diesel akan dinaikkan,’’ ujarnya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika dihubungi berkata, tindakan menaikkan tambang tanpa kebenaran pihak berkuasa adalah menyalahi undang-undang.

‘‘Jika dikesan berbuat demikian, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bas sekolah yang ingkar,’’ katanya.

- Utusan

No comments:

Post a Comment