07 January 2008

Tiada lagi jaminan kerja untuk guru – Noh

TANJONG KARANG 6 Jan. – Semua lulusan bidang perguruan tidak akan lagi dijamin dapat berkhidmat di sekolah-sekolah kerajaan pada masa depan apabila bilangan guru sudah mencukupi.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, ketika itu mereka perlu mencari pekerjaan sendiri termasuk menjadi usahawan seperti menjalankan kelas tuisyen sebagai mata pencarian.

Bagaimanapun, jelasnya, senario itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat memandangkan bilangan guru yang dilahirkan oleh institusi perguruan sekarang masih belum mampu menampung permintaan di sekolah-sekolah kerajaan.

“Dalam jangka masa panjang, saya lihat tiada jaminan mereka yang mengambil jurusan perguruan secara automatik diambil bekerja sebagai guru di sekolah-sekolah.

“Apabila bilangan guru sudah mencukupi nanti, mereka perlu mencari sendiri kerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Program Baktisiswa Teknologi Maklumat (IT) Di Desa 2 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Aminah Ayob.

Program anjuran Persatuan Teknologi Maklumat UPSI itu melibatkan 133 pelajar dan 51 keluarga angkat.

Ia berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

Menurut Noh, buat masa ini UPSI dan 10 fakulti dari beberapa institusi pengajian tinggi awam melahirkan kira-kira 6,000 lulusan perguruan setiap tahun.

Katanya, kesemua mereka diserapkan ke sekolah-sekolah kerajaan di seluruh negara untuk mengajar sebaik tamat pengajian.

- Utusan

No comments:

Post a Comment