07 January 2008

Minyak masak diseludup

RANTAU PANJANG 6 Jan. – Pada saat rakyat negara ini gelisah ekoran kekurangan bekalan minyak masak kelapa sawit serta penahanan seorang peniaga yang menyorok bekalan itu di Nilai, Negeri Sembilan, terdapat segelintir pihak sanggup menyeludup barang keperluan tersebut ke Thailand bagi menjualnya pada harga lebih mahal.

Petang ini, polis marin yang menyerbu sebuah stor di Kampung Tanjung, Pengkalan Kubor dekat sini merampas 209 kotak minyak masak berisi 3,553 kilogram bahan tersebut yang dipercayai hendak diseludup ke negara jiran itu.

Pemangku Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor, Asisten Supritendan Wan Ismail Wan Mamat berkata, nilai rampasannya ialah RM8,778 tetapi penyeludup dipercayai memperoleh keuntungan berlipat kali ganda jika bahan itu berjaya dibawa ke Thailand.

Katanya, kejayaan itu adalah hasil penahanan seorang pemuda berusia 19 tahun di pangkalan haram Pak Mat Sedar di sini yang mengaku kesemua minyak masak itu mahu diseludup ke negara jiran kerana di Thailand harga jualannya boleh mencecah RM5.80 sekilogram.

“Lelaki itu awalnya ditahan menggunakan motosikal untuk membawa 25 kotak minyak masak di pangkalan haram berkenaan kira-kira 15 minit sebelum serbuan dibuat.

“Hasil maklumatnya, sebuah stor kedai runcit di kawasan berhampiran diserbu pada pukul 12.30 tengah hari dan kami menemui minyak masak tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Jenama minyak di stor itu didapati sama dengan rampasan yang dilakukan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Rantau Panjang, kira-kira 30 kilometer dari Pengkalan Kubor.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia- Thailand di Sungai Golok, Rantau Panjang mendapati rakyat negara jiran itu tanpa rasa bersalah cuba menyeludup berkotak-kotak minyak masak dengan menggunakan motosikal.

Semasa pemberita berada di situ, beberapa anggota PGA yang bertugas di pintu sempadan itu menahan seorang lelaki Thailand yang cuba menyeludup 112 peket minyak masak seberat satu kilogram setiap satu ke negara itu.

Nilai minyak masak yang ingin diseludup itu ialah RM280 dengan harga pasaran RM2.50 sekilogram.

Di Thailand, minyak itu boleh diniaga pada harga sehingga RM5.80 sekilogram yang membolehkan penyeludup menjual 25 kotak itu pada harga RM650 dengan keuntungan bersih RM370.

Ketika lelaki Thai itu ditahan, minyak masak itu disembunyikan di dalam kotak biskut manakala selebihnya dimasukkan dalam beg plastik lut sinar.

Lelaki berkenaan menjelaskan dia hanya menjalankan arahan ‘bosnya’ yang menyuruh mengambil barangan terkawal itu daripada seorang pembekal yang berasal dari Pasir Mas.

Menurut lelaki itu, bekalan minyak masak yang hendak diseludup itu dihantar oleh pembekal Malaysia ke kawasan berhampiran pintu sempadan.

Tinjauan Utusan Malaysia selama hampir sejam di sini juga mendapati pintu sempadan itu menjadi laluan utama rakyat negara terbabit untuk membawa barangan seperti gula dan tepung yang dibeli di pekan ini untuk dijual semula di Sungai Golok.

Beberapa penduduk pekan ini yang ditemui menjelaskan bahawa aktiviti tersebut menjadi perkara biasa dan sebelum ini tiada sebarang halangan untuk barang-barang itu dibawa masuk ke Thailand.

Malah, menurut laporan Bernama, bekalan minyak masak kelapa sawit mudah diperoleh di selatan Thailand.

Kebanyakan mereka yang enggan dikenali memberitahu, selain pintu masuk sah, laluan penyeludupan melalui pangkalan haram di Sungai Golok turut digunakan untuk membawa minyak masak ke negara berkenaan.

Kata mereka, faktor harga lebih murah di Malaysia berbanding di Thailand yang menjual minyak masak pada harga yang mahal menyebabkan barang keperluan itu laku seperti ‘pisang goreng panas’.

“Kita pun tidak tahu macam mana mereka (penyeludup) boleh dapat bekalan sedangkan penduduk di Rantau Panjang sendiri pun susah nak dapat minyak masak.

Kelantan adalah antara negeri terawal yang mengalami masalah kekurangan bekalan minyak masak iaitu sejak Disember lalu sehingga catuan terpaksa dilakukan seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha dua minggu lalu.

Catuan itu bukan terhad kepada minyak masak kelapa sawit tetapi juga merangkumi minyak masak berasaskan bahan lain termasuk jagung.

Semasa negara mengalami krisis bekalan gula sebelum ini, aktiviti penyeludupan turut menjadi penyumbang kepada kekurangan gula sehingga ada peket gula keluaran Malaysia dijual secara terbuka di beberapa kampung di wilayah Narathiwat.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kelantan, Che Halim Abdul Rahman berkata, pasukan penguat kuasa dari pelbagai agensi sempadan akan bergerak secara bersepadu bagi menangani masalah penyeludupan minyak masak.

No comments:

Post a Comment