20 January 2008

Suwandi dan Azman dibenarkan ikat jamin

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Hrkh) - Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini membenarkan ikat jamin kepada Suwandi Ab Ghani dan Muhamad Azman Abd Aziz, mangsa tembakan peluru hidup polis dalam apa yang disebut-sebut sebagai "peristiwa keganasan polis" terhadap rakyat yang berhimpun secara aman.

Walaupun Suwandi, 38, dari Kampung Binjai Rendah, Marang dan Azman, 21, dari Pasir Panjang, Kuala Terenganu dianggap menjadi "mangsa keganasan polis", mereka pula yang dibebankan dengan tuduhan menghadiri "perhimpunan haram" di Batu Burok 8 September tahun lalu dan dengan sengaja "menyebabkan kecederaan" ke atas anggota polis.

Ketika memberitahu keputusan mahkamah itu, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub memberitahu, kedua-dua mereka dibenarkan ikat jamin sebanyak RM3000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Keputusan tersebut telah disambut dengan laungan takbir oleh lebih 5000 orang yang berhimpun di luar mahkamah, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

"Kita juga amat bersyukur ke hadrat Allah kerana sebaik sahaja mahkamah membenarkan ikat jamin itu, ahli-ahli dan para penyokong PAS yang berhimpun di perkarangan mahkamah berebut-rebut menghulurkan derma dan kita berjaya mengumpulkan RM10000 dalam masa tidak sampai 10 minit," kata beliau.

Selain bertakbir, mereka yang berhimpun di perkarangan mahkamah itu juga berzikir dan bertahmid memuji-muji Allah s.w.t. sebagai mensyukuri keputusan yang dinanti-nantikan itu.

Sebelum itu, ketika mahkamah bersidang, mereka juga mengadakan solat hajat yang diimamkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya Negeri Terengganu, Datuk Haji Abu Bakar Chik.

Selain dari Salahuddin dan Abu Bakar, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi adalah antara pemimpin PAS yang hadir dan dianggap mengetuai ahli-ahli dan para penyokong PAS yang berada di dalam dan di luar mahkamah.

Suwandi dan Azman dibela oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Guaman dan Undang-undang PAS, Hanipa Maidin. Pendakwaan pula diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail

- HarakahDaily

No comments:

Post a Comment