20 January 2008

Artis Dan Stesen Televisyen Perlu Ambil Iktibar, Kata Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM, 19 Jan (Bernama) -- Stesen televisyen 8TV dan penyanyi Faizal Tahir perlu menerima hukuman yang dikenakan dengan fikiran terbuka kerana ia bukan bertujuan menzalimi mana-mana pihak, sebaliknya untuk memberi pengajaran.

Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan yang terhadap kedua-dua pihak itu bertujuan bagi memastikan agar perkara tersebut tidak berulang di masa hadapan.

"Apa yang dilakukan oleh Faizal Tahir adalah melampaui budaya dan tatasusila ketimuran," katanya dalam sidang media selepas majlis Simposim Usahawan Asnaf Selangor anjuran bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMNS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hukuman terhadap 8TV yang tidak dibenarkan membuat siaran langsung mahupun tertunda bagi konsert dan semua rancangan hiburan untuk tempoh tiga bulan berkuatkuasa 15 Jan, ekoran tindakan Faizal menanggalkan baju pada satu konsert yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen itu pada 13 Jan lepas.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengumumkan hukuman itu semalam, turut menyatakan bahawa kelulusan tidak diberikan bagi sebarang permohonan siaran langsung dan tertunda oleh stesen televisyen lain yang mahu menampilkan Faizal dalam tempoh tiga bulan berkuatkuasa 15 Jan.

Ahmad Zahid berkata media mahupun artis sepatutnya menjadi potret tatasusila masyarakat yang memberikan contoh terbaik dan sentiasa mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata RTM sentiasa komited dalam memastikan semua garis panduan dan peraturan yang ditetapkan dalam semua rancangan yang disiarkan di televisyen dipatuhi.

"Hukuman yang dikenakan juga menanti semua stesen televisyen lain termasuk RTM jika didapati melanggar peraturan. Oleh itu semua pihak terutamanya penerbit rancangan kena sentiasa peka," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Freddie Fernandaz ketika dihubungi berkata beliau menganggap tindakan SKMM itu sebagai satu pengajaran bagi semua pihak dalam industri hiburan.

Katanya beliau berharap golongan artis yang lain lebih berhati-hati ketika membuat persembahan secara langsung.

Bagaimanapun menurutnya Karyawan bersedia merayu kepada SKMM agar mengurangkan hukuman terhadap Faizal Tahir kerana ia merupakan kesalahan pertama penyanyi itu.

Bekas vokalis Lefthanded, Jamaluddin Elias atau lebih dikenali dengan nama Nash pula berkata, Faizal perlu menjadikan tindakan itu sebagai pengajaran dan lebih berhati-hati semasa membuat persembahan pada masa depan.

"Saya harap Faizal dapat menilai apa yang sepatutnya yang dilakukan sebelum bertindak kerana dia merupakan bekas kumpulan nasyid dahulu dan sebagai orang Melayu mestilah tahu adat ketimuran kita," kata beliau yang juga bekas Timbalan Presiden Karyawan.

Sementara itu vokalis kumpulan rock terkenal Suhaimi Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai Amy Search berkata Faizal sepatutnya sensitif terhadap isu yang berkaitan dengan tatasusila.

"Dia beruntung kerana (jika) zaman saya dahulu, tidak tahu sampai bila (tempoh) hukuman akan dikenakan, dan dia juga harus ingat kita orang Melayu ada batas dan tatasusilanya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment