17 January 2008

PM arah Tengku Adnan kerjasama dengan BPR

MADRID: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor perlu bekerjasama dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung keputusan kementerian itu untuk menjalankan siasatan dalaman mengenai dakwaan penyelewengan dana oleh dua pegawai Tourism Malaysia yang berpejabat di Seoul.

"Beliau kena bincang dengan BPR, kerana jika tidak, akan timbul reaksi tak sewajarnya daripada orang ramai," kata Perdana Menteri pada sidang akhbar di sini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Tengku Adnan bahawa siasatan dalaman bermula dua minggu lepas setelah dua pegawai itu didakwa menyalahguna kuasa dan mendapat manfaat daripada pembikinan satu klip video mengenai kempen Tahun Melawat Malaysia oleh sebuah syarikat Korea Selatan.

Pembikinan klip video itu didakwa menelan belanja RM850,000.

Abdullah berkata BPR mungkin mahu menyiasat dan ia tidak boleh dihalang.

"Apabila ia memperoleh maklumat bahawa ada sesuatu yang tidak kena, BPR boleh bertindak," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Datuk Shahrir Samad berkata Kementerian Pelancongan perlu menyerahkan siasatan kepada BPR supaya kementerian itu tidak dilihat sebagai cuba menyembunyikan perkara itu.

Ketika ditanya sama ada beliau diberitahu mengenai kes itu, Abdullah berkata: "Saya tidak diberitahu. Berlaku semasa saya di sini."

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Tengku Adnan berkata pihaknya telah memberikan segala kerjasama yang diperlukan sewaktu sepasukan pegawai BPR datang ke kementerian itu semalam.

"Kita beri kerjasam. Tiada sebarang masalah dalam hal itu," katanya kepada Bernama.

Tengku Adnan berkata siasatan dalaman tetap akan dijalankan seperti arahannya kepada Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

"Saya masih menunggu laporan siasatan itu, dan juga hasil siasatan BPR," katanya.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment