JAKARTA 8 Jan. – Keadaan kesihatan bekas Presiden Indonesia, Suharto semakin merosot hari ini apabila jantungnya bertambah lemah, paru-parunya berair dan kiraan sel darah merahnya menurun walaupun sudah menerima pemindahan darah.
Pasukan perubatannya kini sedang berusaha untuk mencegah kegagalan pelbagai organ.
Seorang doktor dalam pasukan itu menyatakan mereka kurang optimis mengenai keadaannya.
Suharto, 86, dimasukkan dalam keadaan kritikal ke Hospital Pertamina pada Jumaat lalu dan sepasukan 40 doktor merawatnya bagi masalah jantung, paru-paru dan buah pinggang.
“Suharto dalam keadaan sangat tidak stabil dan memerlukan pemantauan rapi,” kata ketua pasukan perubatan, Mardjo Soebiandono pada satu sidang media di sini.
Beliau menjelaskan, lebih banyak cecair telah memasuki paru- parunya dan darah dikesan pada najis dan air kencingnya, menyebabkan paras sel darah merahnya menurun.
Suharto telah menjalani pemindahan darah, tambah beliau.
Wartawan di hospital itu melihat Suharto dibawa keluar dengan kerusi roda dari unit radiologi dengan diiringi oleh tiga anak perempuannya yang kelihatan menangis.
Pakar jantung dalam pasukan itu, Juniarti Hatta kemudian memberitahu wartawan, rongga kanan jantung bekas Presiden itu telah membengkak ke tahap yang boleh membawa kepada kegagalan jantung.
“Keadaannya yang bertambah teruk menyebabkan kami kurang optimis,” katanya sambil memberi amaran, Suharto mungkin mengalami kegagalan pelbagai organ.
– Reuters
No comments:
Post a Comment