09 January 2008

'Henti guna istilah Indon’

SHAH ALAM 8 Jan. – Rakyat negara ini dan juga media massa disaran tidak lagi menggunakan istilah 'Indon' bagi merujuk warganegara Indonesia kerana ia dianggap menjatuhkan maruah rakyat republik itu.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, istilah itu tidak disenangi oleh rakyat negara tersebut yang menganggapnya sebagai satu penghinaan dan merendah-rendahkan taraf mereka.

“Saya menerima pandangan daripada wakil-wakil belia termasuk di peringkat akar umbi negara itu yang meminta supaya rakyat Malaysia menghentikan panggilan Indon kerana ia memberikan satu tafsiran buruk rakyat Indonesia kepada rakyat negara ini.

“Malah, keadaan sedemikian turut diburukkan lagi dengan isu-isu lain seperti tuntutan Pulau Ambalat, tenaga kerja Indonesia (TKI) dan isu lagu Rasa Sayang yang jelas disuarakan menerusi laman blog dan juga media negara itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas menyampaikan ucapan sempena majlis Dialog Malindo 2008: Belia Malaysia-Indonesia di sini hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta rakyat dan media negara ini tidak lagi menggunakan istilah tersebut supaya hubungan baik antara kedua-dua negara dapat dikekalkan walaupun mereka tidak bermaksud sedemikian.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI), Hamka M. Noor dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Sementara itu, Hamka turut memberitahu bahawa di Indonesia, istilah 'Indon' tidak pernah digunakan oleh rakyat negara tersebut.

Katanya, mereka menggunakan istilah 'rakyat Indonesia' yang merujuk kepada penduduk republik itu.

“Walaupun ia hanya istilah, rakyat Indonesia menganggapnya sebagai maruah, harga diri dan identiti sebagai satu bangsa yang berdaulat.

“Oleh itu, kita minta rakyat Malaysia memahami dan menghormati perasaan rakyat Indonesia sebagai rakan yang berkongsi budaya, agama serta sejarah sama,” ujarnya.

- Utusan

No comments:

Post a Comment