03 January 2008

Ringgit tertinggi dalam 10 tahun

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Ringgit mencatatkan paras tertinggi sejak 10 tahun lalu apabila nilainya mencecah di bawah paras 3.300 hari ini.

Ketika ditutup pukul 5 petang, ringgit diniagakan pada 3.2885/2915 berbanding 3.3095/3125 semalam.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj Ali berkata, kelemahan dolar AS ketika ini menjadi satu kelebihan untuk ringgit terus mengukuh.

“Amerika Syarikat kini boleh diibaratkan sedang mengalami zaman kegelapan ekonomi. Ini disebabkan kejatuhan harga-harga saham di pasaran selain Dows Jones yang menjunam sebanyak 200 mata semalam.

“Ini belum mengambil kira keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat sama ada ingin menurunkan kadar faedah AS atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, kekukuhan ringgit ketika ini banyak didorong oleh pertalian rapat ekonomi negara yang menjadikan dolar AS sebagai penanda aras.

Mengulas mengenai mata wang seran tau seperti yen, yuan dan dolar Singapura yang turut kukuh, beliau melihat senario itu lebih menjurus kepada kelemahan dolar AS.

Oktober lalu, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan mata wang tempatan dijangka mencecah paras RM3 untuk AS$1 pada akhir tahun ini.

Sejak diapungkan semula pada 21 Julai 2005, nilai ringgit terus melonjak hampir 14 peratus peratus daripada paras RM3.80 berbanding dolar AS.

Sebelum itu, Malaysia melarang dagangan luar pesisir ringgit pada 1998 apabila mengenakan sekatan kawalan modal semasa kemuncak krisis kewangan Asia untuk mengelakkan dana lindung nilai tanpa prinsip moral membuat spekulasi terhadap mata wang Malaysia.

- Utusan

No comments:

Post a Comment