KUANTAN: Seorang peniaga cedera parah di jari dan luka di kepala ditetak dan diketuk dengan senjata tajam oleh seorang daripada dua lelaki yang menceroboh rumahnya di Kampung Paya Ladang, Chenor, Maran, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 47 tahun bersama isteri dikatakan sedang tidur sebelum terdengar bunyi pintu belakang rumahnya dipecah sebelum bangun untuk memeriksa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata belum pun sempat membuat pemeriksaan, mangsa dikatakan ternampak kelibat dua lelaki dalam rumahnya.
Menurutnya, seorang daripada dua penyamun terbabit kemudian mengetuk kepala sebelum menetak jari tangannya dengan senjata tajam menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera.
Katanya, mangsa bersama isterinya tidak dapat melawan kerana diancam dicederakan dua lelaki terbabit sebelum melarikan telefon bimbit, beg berisi kad prabayar dan wang tunai RM100.
Beliau berkata, mangsa dan isterinya kemudian meminta bantuan ketua kampung yang tinggal kira-kira 200 meter dari rumah mangsa menghantar mereka ke klinik dan membuat aduan polis.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai mengenali kedua-dua suspek terbabit sebelum seorang daripadanya dapat diberkas ketika cuba melarikan diri dari tempat kejadian.
“Suspek, Gusti Helnan Peri, 23, adalah pendatang asing dari Lombok, Indonesia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Maran untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, pada masa sama, polis masih memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Mansor, 30-an yang dapat meloloskan diri dalam kejadian itu.
- H/Metro
No comments:
Post a Comment